
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, perdana menteri tidak boleh mendiamkan diri, sebaliknya perlu mengesah atau menafikan sama ada beliau pernah membayar peguam terbabit RM9.5 juta daripada akaun bank peribadinya.
“Mendiamkan diri bukan satu pilihan untuk perdana menteri, jika beliau mahu rakyat Malaysia dan dunia percaya beliau komited kepada prinsip akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Lim turut mendesak Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mendiamkan diri berhubung dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang maklumat aliran dana daripada 3 akaun itu diperincikan dalam carta ditunjukkan peguam negara pada sebuah sidang media, Januari 2016.
Katanya, sudah seminggu berlalu sejak Sarawak Report mendakwa Najib membayar RM9.5 juta kepada seorang peguam daripada akaun banknya menggunakan dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Portal itu baru-baru ini melaporkan seorang peguam yang dilantik khas bagi mengetuai pasukan pendakwa raya dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berakhir dengan hukuman penjara 5 tahun pada Februari 2015, menerima wang daripada akaun Ambank milik Najib.
Portal itu turut menerbitkan gambar pengesahan yang menunjukkan 2 transaksi berjumlah RM9.5 juta, satu daripadanya pada Februari 2014, 2 minggu sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi terhadap bekas ketua pembangkang itu, daripada tidak bersalah kepada bersalah.
Kerajaan sebelum ini berkata, peguam terbabit hanya dibayar RM1,000 untuk khidmatnya dalam kes Anwar.
Pada 2015, The Wall Street Journal memetik kertas penyiasat Malaysia sebagai berkata, Najib menerima sejumlah RM2.6 bilion daripada wang berkaitan 1MDB.
Perdana menteri bagaimanapun menafikan dakwaan itu, sebaliknya berkata wang itu merupakan sumbangan keluarga diraja Arab Saudi bagi membantu kempen Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13.