Guan Eng label Gerakan ‘pembohong besar’

guan-eng-jason-loo

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng melabelkan Gerakan “pembohong besar” kerana terus membuat “dakwaan tidak berasas” mengenai jualan tanah kerajaan bernilai RM156 juta kepada sebuah hospital swasta.

Lim menjelaskan sebelum ini beliau tidak mahu menjadi sebahagian daripada “permainan” Gerakan dan dengan itu enggan melayan dakwaan yang dianggap sebagai “pembohongan”.

Bagaimanapun, beliau terpaksa kerana kenyataan terkini Gerakan sebagai tidak masuk akal.

Lim menjelaskan Gerakan melakukan kesilapan apabila menyatakan Enakmen Ketua Menteri Diperbadankan 2009 memberi kuasa mutlak kepada ketua menteri.

Beliau menegaskan sebarang keputusan atau pelaksanaan dilakukan oleh majlis mesyuarat kerajaan negeri (MMKN).

Oleh itu, beliau berkata Gerakan “cuba berbohong” mengenai enakmen itu.

“Bolehkah anda tunjukkan kepada saya dalam enakmen mana yang tertera ‘ketua menteri mempunyai hak mutlak untuk membuat keputusan’?

“Saya sendiri tidak menandatangani satu kontrak pun, hanya menjadi saksi sahaja.

“Gerakan semakin menjadi pembohong besar. Hanya masa akan menentukan bila mereka akan kena”.

Lim juga berkata gesaan Gerakan untuk mengubah status minit MMKN mengenai penjualan tanah boleh dipertimbangkan tetapi mempersoalkan apa faedahnya jika berbuat demikian.

“Jika kita ubah status (dokumen itu), apa yang anda akan lakukan? Adakah anda akan meletak jawatan atau bersara daripada politik? Mungkin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada saya? Mungkin menderma RM1 juta kepada badan amal?

“Kalau macam itu baiklah, kita akan pertimbangkan ubah status itu… tetapi kita bosan dan letih dengan permainan mereka.

“Mereka berbohong untuk menutup pembohongan lain. Sehingga pembohongan semakin bertambah. Apabila mereka gagal untuk menutup pembohongan mereka, mereka beralih kepada perkara lain, “kata Lim kepada pemberita di Komtar hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Jason Loo berkata di bawah Enakmen Perbadanan Ketua Menteri 2009, semua keputusan dibuat oleh ketua menteri sahaja.

Jason juga mahu Lim mendedahkan minit MMKN untuk menunjukkan bukan hanya beliau yang memutuskan semua perkara.