Sejarah Sabah tak lengkap tanpa butiran nahas Double Six

Sejarah Sabah tak lengkap tanpa butiran nahas Double Six

Orang ramai ingin tahu rahsia yang menyelubungi nahas udara pada 1976 itu yang mengorbankan beberapa pemimpin tertinggi Sabah.

double-six
KOTA KINABALU: Empat puluh satu tahun berlalu sejak Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens dan 10 yang lain terkorban dalam nahas pesawat dikenali sebagai Double Six.

Selepas lebih 4 dekad, sesetengah rakyat Sabah masih ingat perasaan ketika mendengar berita itu dan tertanya-tanya punca sebenar tragedi berkenaan.

Nahas itu diberi nama Tragedi Double Six kerana ia berlaku pada 6 Jun di Sungai Sembulan yang cetek, ketika ia dalam perjalanan dari Labuan ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Selain Fuad, Menteri Kewangan negeri, Datuk Salleh Sulong, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Wahid Peter Andu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Peter Mojuntin, Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Sabah, Datuk Chong Thien Vun serta pembantu menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Darius Binion turut terbunuh dalam nahas itu.

Selepas siasatan selesai, Timbalan Menteri Komunikasi, Mohd Ali M Sharif mengumumkan nahas itu berpunca daripada kesilapan manusia, tetapi laporan penuh diklasifikasikan sebagai rahsia kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Joseph Madis yang kini berusia 53 tahun mendapat tahu nahas itu pada sebelah malam, beberapa jam selepas ia berlaku. Abangnya mengejutkan beliau daripada tidur dan berkata: “Pemimpin kita, Fuad Stephens, Peter Mojuntin dan yang lain sudah meninggal.”

Beliau yang tinggal di Kampung Duvanson, Putatan, ketika itu terus bangun dari katil dan pergi ke tempat kejadian, 10km dari rumahnya.

“Berita itu bagaikan mimpi ngeri bagi saya. Kerajaan sepatutnya mendedahkan penemuan penuh kerana hanya dengan cara itu, orang ramai akan berpuas hati sepenuhnya. Kita perlu tahu mengapa dan bagaimana ia terhempas.

“Kenapa ia tidak cuba mendarat? Bagaimanakah komunikasi antara pesawat dan menara kawalan udara yang seingat saya amat kecil ketika itu.

“Apa yang kita tahu tidak mencukupi. Kami mahu semua butiran lanjut.”

Able Ellon yang berusia 35 tahun pada 1976, berada di rumahnya di Kinarut, 17km dari tempat kejadian ketika dimaklumkan mengenai tragedi itu oleh rakannya.

“Saya setuju laporan rasmi penuh perlu didedahkan kepada orang ramai. Ia bukannya akan menjejaskan keselamatan negara jika kita mengumumkannya.

“Kini, kerajaan dan pihak berkuasa adalah telus walaupun ketika nahas udara serius berlaku. Kenapa kita tidak boleh dapatkan semua butiran sekarang?”

Rastim Othman pula percaya sejarah Sabah hanya akan lengkap apabila laporan penuh itu diketahui orang ramai.

Imam sebuah masjid yang kini berusia 73 tahun itu berkata, ketika kejadian, beliau bekerja di pejabat pihak berkuasa tenaga Sabah di Tanjung Aru, 1km dari lokasi nahas.

“Saya keluar dari pejabat sebaik sahaja mendapat berita itu dan bergegas ke tempat kejadian. Tetapi, ia (pesawat terhempas) agak jauh di dalam perairan. Jadi, saya bersama orang ramai hanya dapat melihat usaha mencari dan menyelamat dari tepi pantai.

“Kerajaan perlu mengumumkan penemuan itu. Apa yang kita tahu mengenai kejadian itu ketika ini tidak lengkap. Kita tidak tahu bagaimana kita kehilangan pemimpin hebat.

“Jika generasi saya tidak mempunyai gambaran jelas mengenai kejadian sebenar, bagaimana kita hendak mengharapkan generasi akan datang tahu sejarah penuh Sabah? Ia amat menyedihkan.”

Fatimah Padri, 67, juga sependapat dengan Rastim. Beliau bekerja di sebuah kilang kasut di Papar, 35km dari lokasi kemalangan.

“Kami mendapat tahu tragedi itu melalui radio dan semua terkejut. Kami tidak dapat terus kerja pada hari itu.

“Kami kehilangan pemimpin tertinggi dan sehingga kini, kami masih tidak tahu punca sebenar kemalangan itu. Saya hanyalah rakyat biasa Sabah, tetapi kami perlu tahu apa yang berlaku.”

4 parti Sabah desak kerajaan dedah laporan nahas pesawat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.