Risiko ancaman siber, pengguna Bitcoin digesa waspada

Risiko ancaman siber, pengguna Bitcoin digesa waspada

Berikutan serangan siber Ransomware 'WannaCry' baru-baru ini, pengguna mata wang digital perlu lebih berwaspada dan menjaga keselamatan akaun mereka.

cyber-crime_600_new
SERDANG:
Berikutan serangan siber Ransomware ‘WannaCry’ baru-baru ini yang memeras ugut pengguna komputer, pengguna mata wang digital seperti ‘Bitcoin’ perlu lebih berwaspada dan menjaga keselamatan akaun mereka kerana sistem transaksi seperti itu terdedah kepada risiko ancaman keselamatan siber.

Seorang pakar keselamatan jaringan, Prof Madya Dr Zuriati Ahmad Zukarnain berkata, meskipun Bitcoin beroperasi menggunakan dua jenis kunci – awam dan sulit – untuk melakukan transaksi, namun kunci sulit mampu digodam pihak ketiga dengan menggunakan komputer kuantum yang berupaya melakukan tugas-tugas yang tidak boleh dilaksanakan oleh komputer klasik.

“Komputer kuantum mampu membuat ‘large factorisation’ dan boleh mengesan ‘public key’ serta ‘private key’ yang sememangnya digunakan dalam operasi Bitcoin.

“Ancamannya ialah apabila ‘private key’ boleh dihidu pihak ketiga, mereka bebas membuat apa sahaja transaksi menggunakan akaun yang digodam kerana ‘private key’ ini merupakan kata kunci yang membuktikan pemilikan terhadap sesuatu alamat penghantaran Bitcoin,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Bulan lepas, berlaku serangan Ransomware WannaCry di seluruh dunia yang mengakibatkan fail sesebuah komputer yang terjejas dikunci, sekali gus menghalang akses pemilik komputer kepada fail tersebut.

Ransomware itu kemudiannya akan menuntut bayaran menerusi sistem mata wang digital Bitcoin untuk melepaskan fail yang dikunci itu.

Zuriati berkata, kunci sulit Bitcoin berfungsi memelihara keselamatan ‘Blockchain’ iaitu 1 buku rekod awam digital di Internet yang menyimpan segala transaksi penggunanya.

Pensyarah Jabatan Komunikasi Teknologi dan Rangkaian, Universiti Putra Malaysia itu berkata, jika pihak ke-3 berjaya mendapatkan kunci sulit berkenaan, mereka boleh mendapatkan keseluruhan nilai Bitcoin yang ada dalam akaun yang digodam.

Kajian menunjukkan penggunaan mata wang digital menjadi popular di Malaysia kerana ia melibatkan transaksi bayaran yang lebih mudah berbanding kad kredit, lebih selamat tanpa penipuan, laju dan murah, katanya.

Bagi meningkatkan keselamatan penggunaan Bitcoin, Zuriati berkata, Pusat Kuantum Rusia telah mencadangkan supaya ‘Blockchain’ setiap akaun digunakan bersama Quantum Key Distribution (QKD) dan ‘post-quantum cryptography’.

Melalui cara ini, katanya keselamatan ‘peer network’ yang digunakan dalam sistem Bitcoin lebih terjamin, sekali gus menghalang kunci sulit daripada dicuri pihak ke-3.

Bitcoin yang diilhamkan seorang pakar komputer yang menggunakan nama Satoshi Nakamoto merupakan mata wang bebas daripada pengawasan mana-mana bank pusat, dan boleh dipindahkan dengan kaedah elektronik tanpa orang tengah secara percuma.

Ketika nilai mata wang biasanya disandarkan pada emas atau perak, Bitcoin pula disandarkan pada pengiraan matematik.

Ia menjadi tarikan kerana bank pusat sesebuah negara tidak boleh mengawal urusan kewangan seseorang, dan semakin menjadi pilihan peniaga kecil yang menggunakan Bitcoin dalam urus niaga harian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.