Anwar mahu Najib, Shafee dedah akaun bank

anwar-najib-shafeeKUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon perintah mahkamah supaya perdana menteri mendedahkan akaun baknya susulan dakwaan RM9.5 juta yang dipindahkan kepada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Dalam satu permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi hari ini, bekas ketua pembangkang yang dipenjarakan itu mahu mahkamah mengarahkan Datuk Seri Najib Razak memberi penyata akaun bank selama 3 bulan dari Ogos 2013 dan dari Januari 2014.

Ketua umum PKR itu juga mahu Najib mendedahkan transaksi pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014 yang masing-masing didakwa menunjukkan bayaran RM4.3 juta serta RM5.2 juta.

Anwar yang memfailkan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Daim & Gamany, juga mahu Shafee mendedahkan akaun banknya pada tempoh sama.

Anwar dalam afidavit sokongannya berkata, bayaran sebanyak RM9.5 juta disalurkan kepada Shafee yang dilantik mengetuai pasukan pendakwaan mewakili kerajaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Pembayaran ini disembunyikan daripada mahkamah dan plaintif (Anwar), menyebabkan Shafee bukan pendakwa raya bebas,” katanya.

Beliau berkata, semua dokumen yang diminta didedahkan itu mempunyai kaitan langsung dengan bayaran RM9.5 juta yang dikatakan dibayar oleh Najib.

Katanya, maklumat pembayaran itu hanya diketahui Najib dan Shafee.

“Dua orang ini wajib membuat pendedahan penuh untuk membolehkan mahkamah membuat keputusan berdasarkan undang-undang,” kata Anwar.

Minggu lalu, Anwar memfailkan saman pemula bagi membatalkan sabitan liwatnya atas alasan beliau dinafikan perbicaraan dan keputusan adil.

Dua minggu lalu, Sarawak Report melaporkan Shafee menerima wang dalam 2 bahagian pada 2013 dan 2014 daripada akaun bank peribadi Najib.

Anwar mahu mahkamah membebaskannya dengan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada Mac 2014, yang membatalkan pembebasannya daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Keputusan itu disahkan semula oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 yang menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar.

Minggu lalu juga, Shafee memberitahu wartawan beliau akan mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan itu, tetapi tidak menyatakan bila.

Ketika perbicaraan kes Anwar, pihak pendakwaan diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin.

Susulan persaraan awal Yusof, Shafee dilantik Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail pada 11 Julai 2013 untuk mengetuai pasukan pendakwaan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/09/isu-rm9-5-juta-anwar-fail-saman-batal-hukuman-penjara/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/09/shafee-enggan-komen-elak-soalan-rm9-5-juta/