Dua tokoh elak tangkapan, beramah mesra di Arab Saudi

Rizieq-Shihab
Dr Zakir Naik (duduk, kiri) dilihat bersama Rizieq Shihab (2 dari kanan) di rumah seorang agamawan di Arab Saudi, Selasa lalu.

PETALING JAYA: Pemimpin Front Pembela Islam (FPI) yang kini sedang berada di Arab Saudi bagi mengelak tangkapan polis Indonesia berhubung kes gambar lucah melalui Whatsapp, dilaporkan bertemu dengan pendakwah kontroversi India, Dr Zakir Naik, Selasa lalu.

Rizieq Shihab, orang yang menganjurkan protes besar-besaran membantah Basuki Tjahaja Purnama atas alasan gabenor Jakarta itu menghina Islam, dikehendaki polis Indonesia susulan pendedahan beliau terlibat dalam perbualan dan gambar lucah melalui aplikasi Whatsapp bersama seorang wanita bernama Firza Husein.

Firza sudah disoal siasat pihak polis Indonesia selama beberapa jam, tetapi Rizieq dipercayai melarikan diri ke Arab Saudi selepas berada di Malaysia untuk seketika.

Pihak berkuasa Indonesia juga mengeluarkan notis merah kepada Interpol bagi mendapatkan bantuan polis antarabangsa itu mengesan Rizieq.

Peguam Rizieq, Sugito Atmo Prawiro, dipetik media Indonesia sebagai berkata pemimpin radikal Islam itu bertemu Zakir, yang juga sedang mengelak tangkapan pihak berkuasa India atas tuduhan pengubahan wang haram, ketika mengunjugi agamawan Arab Saudi, Sheikh Khalid Al Hamudi yang kematian ibunya.

Kedua-dua Rizieq dan Zakir bertukar ucapan terima kasih antara satu sama lain.

“Rizieq mengucapkan terima kasih kepada Zakir Naik kerana mengunjungi Indonesia. Zakir Naik juga menyampaikan rasa bangganya dengan perjuangan Rizieq,” Sugito dipetik Tempo.

Gambar dan paparan skrin perbualan antara Rizieq dan Firza tersebar di media sosial baru-baru ini. Mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 6 tahun kerana menyebarkan bahan lucah.

Whatsapp bogel: Indonesia minta bantuan Interpol bawa Rizieq dari Arab Saudi