Parti Warisan Sabah cadang tubuh jawatankuasa nasional GST

Parti Warisan Sabah cadang tubuh jawatankuasa nasional GST

Kumpulan pengguna mahu kerajaan menjalankan kajian dan mendapatkan pandangan orang ramai sebelum mengenakan GST ke atas barang keperluan asas.

Junz-Wong-putrajaya-gst
PETALING JAYA: Sebuah parti pembangkang menggesa kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa nasional untuk memantau sebarang perubahan terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Mengulas pembatalan GST ke atas lebih 60 barang makanan, semalam, Parti Warisan Sabah berkata, penubuhan sebuah jawatankuasa kebangsaan adalah cara terbaik untuk memastikan GST dilaksanakan secara adil.

Pada mulanya, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Subromaniam Tholasy dilaporkan sebagai berkata, lebih 60 barang makanan akan dikenakan GST termasuk teh, kopi, rempah, makanan laut seperti belut dan ikan todak, mulai 1 Julai ini.

Buah-buahan diimport seperti avokado, buah ara, anggur, buah pic, ceri dan beri serta sayur-sayuran seperti kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis akan dikenakan cukai 6% itu.

Kurang 24 jam, Subromaniam memaklumkan kerajaan membatalkan hasrat mengenakan GST ke atas lebih 60 barangan makanan itu.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata, buat masa ini, GST dikekalkan dan tidak kira rakyat suka atau tidak, yang penting ialah cukai itu tidak akan dikenakan ke atas barang keperluan asas.

“Semalam, rakyat Malaysia menghidap ‘serangan jantung kecil’ dengan pengumuman awal itu dan walaupun langkah itu dibatalkan, ia menyebabkan kita perlu melihat bagaimana GST dilaksanakan.

“Siapa yang pada mulanya memutuskan bihun dan kentang perlu dikenakan GST? Apakah proses untuk menentukan apa yang boleh dikenakan cukai dan apa yang tidak? Berdasarkan senarai barang dikecualikan GST sedia ada, ada penambahbaikan yang boleh dilakukan, tetapi kita perlu tahu cara melakukannya.”

Adun Likas itu berkata, itu sebabnya kerajaan perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa nasional terdiri daripada kementerian berkaitan, persatuan pengguna, pakar ekonomi, ahli akademik dan wakil kerajaan negeri untuk menambah baik pelaksanaan GST.

Katanya, jawatankuasa seperti itu boleh memperhalusi senarai barang yang boleh dikenakan atau dikecualikan GST, untuk melindungi kepentingan rakyat.

“Saya rasa ternyata sesetengah orang tidak memahami realiti dihadapi rakyat, maka jawatankuasa ini sesuai untuk memastikan mereka yang tidak memahami rakyat, boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya yang akan menjejaskan kehidupan rakyat susah.

“Jawatankuasa nasional ini boleh memberi saranan, termasuk mengeluarkan barang dimakan golongan elit seperti udang karang daripada senarai kadar sifar atau mempertimbangkan untuk menurunkan kadar GST bagi makanan yang lebih banyak digunakan golongan berpendapatan rendah.”

Dahulu, ada pihak mempersoalkan kenapa makanan mewah seperti udang karang yang kebanyakannya dimakan golongan berpendapatan lebih tinggi, dikecualikan GST.

Ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh pada 2015, PKR menganjurkan “parti udang karang” untuk menunjukkan kepada rakyat makanan laut “mahal” itu dikecualikan GST, sedangkan sardin dan mi segera dikenakan cukai 6% itu.

Wong berkata, jawatankuasa itu juga akan mendapatkan maklum balas orang ramai dan menasihatkan kerajaan berhubung pindaan akan datang, termasuk sebarang kenaikan kadar GST.

Tahun lalu, khabar angin bertiup kencang yang Putrajaya akan meningkatkan kadar GST sebanyak 6%, tetapi ia ditepis Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang berkata, tiada kenaikan sedemikian tahun ini.

Sementara itu, sebelum pembatalan GST ke atas lebih 60 barang makanan, kumpulan pengguna menggesa Putrajaya untuk membabitkan orang ramai apabila membuat keputusan mengenai GST.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, SM Mohamed Idris berkata, Putrajaya perlu lebih telus dalam mengemas kini senarai barangan berkadar sifar dan dikecualikan GST serta ia perlu rundingan secukupnya.

Beliau turut menyeru Putrajaya memaklumkan rakyat bagaimana kutipan GST dibelanjakan, khasnya jika mereka terpaksa membayar cukai untuk barang keperluan asas.

“Tunjukkan kepada kami di mana wang GST pergi dan bagaimana setiap sen dibelanjakan,” katanya.

Sebelum ini, Putrajaya berkata, hasil kutipan GST – yang disifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai “penyelamat” ekonomi ekoran kemerosotan harga minyak – akan digunakan untuk tujuan pembangunan.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) pula berkata, sebarang langkah mengenakan GST ke atas barangan makanan asas tidak boleh diterima.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Paul Selvaraj berkata, barangan makanan segar tidak sepatutnya dikenakan GST, melainkan makanan mewah seperti udang galah.

“Kerjasama dengan suri rumah, pergi ke pasar dan buat rundingan dengan orang ramai untuk cuba memahami apa yang rakyat biasa makan. Kerajaan perlu memastikan rakyat tidak dibebani.”

Kerajaan memperkenalkan GST pada kadar 6%, April 2015. Sehingga kini, Putrajaya berjaya mengutip lebih RM50 bilion sejak cukai itu dilaksanakan.

 

Selepas raya, mi dan buah-buahan import dikenakan GST, kata laporan

Kerajaan batal cadangan kenakan GST untuk 60 barang makanan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.