
Arry Baee, 46, berkata anjing peliharaan itu bertindak liar dan menggigit penduduk kampung menyebabkan mereka terpaksa bertindak membunuh haiwan tersebut.
“Kami mula mengesan perubahan terhadap anjing tersebut apabila ekor melengkung ke bawah, air liur meleleh tidak henti-henti dan bertindak agresif dengan menerkam apa sahaja, sama ada pokok, manusia atau ekor sendiri.
“Semakin lama, haiwan itu berkelakuan tidak normal, berlari ke sana sini. Ada 1 kes seorang nenek digigit anjing dan haiwan itu kemudian lari seperti ‘gila’ ke jalan raya dan dilanggar kereta,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan hari ini.
Berikutan itu, beliau berkata, penduduk kampung sebulat suara mengambil keputusan membunuh anjing berkelakuan tidak normal selepas berbincang sesama mereka.
Bekerja sebagai petani, Arry berkata, dia sendiri terpaksa membunuh 2 anjing peliharaannya selepas dikesan berkelakuan tidak normal.
Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan 3 kanak-kanak, termasuk 2 beradik di daerah Serian, dijangkiti virus rabies dan sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak.
Tinjauan Bernama di kampung yang terletak kira-kira 80km dari bandar raya Kuching itu mendapati aktiviti harian penduduk majoritinya petani masih berjalan seperti biasa.
Turut kelihatan beberapa anjing yang masih bebas berkeliaran di kampung tersebut.
Paul Ken Gapaya, 57, berkata lebih 10 individu di kampung tersebut dikatakan digigit anjing sejak hujung April lalu.
“Sepanjang pengetahuan saya, lebih 10 individu di kampung ini digigit anjing, tetapi mereka segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya.
Dalam pada itu, Paul turut melahirkan rasa simpati terhadap 2 beradik terbabit, kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun dan kakaknya 6 tahun, yang menjadi mangsa virus rabies atau penyakit anjing gila.
“Saya memang kenal mangsa ini. Mereka anak ke-5 dan bongsu daripada 6 beradik dan selalu kelihatan berjalan bersama di sekitar kampung,” katanya.