Wong Chen akan dedah semua tentang ‘Bulan Kebajikan’ di FB

Wong Chen akan dedah semua tentang ‘Bulan Kebajikan’ di FB

Ahli Parlimen Kelana Jaya itu berkata, kerajaan Selangor 'sekali lagi' gagal memberi jawapan bertulis berhubung pengauditan ke atas program kebajikannya sebelum tarikh akhir, 23 Jun lalu.

wong-chen-bulan-kebajikan-1
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen akan menyiarkan satu laporan berhubung program Bulan Kebajikan 2017 di Facebooknya minggu ini, selepas kakitangannya selesai mengimbas semua dokumen dan surat-menyurat rasmi mengenai program itu.

“Saya akan mengarahkan kakitangan saya mengimbas semua dokumen dan surat-menyurat rasmi pada Isnin, dan juga membuat 1 garis masa. Selepas itu, saya akan menyiarkan satu laporan di Facebook saya menjelang pertengahan minggu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas kerajaan Selangor “sekali lagi” gagal memberi jawapan bertulis berhubung pengauditan ke atas program kebajikannya sebelum tarikh akhir, 5 petang 23 Jun lalu.

“Tidak ada perkara untuk saya sembunyikan dan saya percaya ketelusan sepenuhnya berhubung program itu adalah tindakan terakhir boleh dilakukan.

“Apabila mereka melihat dokumen dan garis masa itu, saya yakin pengundi akan faham mengapa saya tidak puas hati dengan keadaan itu.”

Pada 15 Jun lalu, Wong melalui surat ringkas memaklumkan tindakan kerajaan Selangor menyebabkan mereka tiada dana untuk melaksanakan program kebajikan itu.

Tidak lama kemudian, beliau melalui Facebooknya berkata, pejabatnya menghantar 355 surat kepada penduduk yang ditemubual untuk program Bulan Kebajikan 2017 pada minggu sebelumnya.

Wong sebelum ini menerbitkan buletin untuk pengundi di kawasannya dengan menjanjikan pejabatnya akan terus menghubungi kerajaan Selangor dan menyelesaikan isu membabitkan program kebajikan itu.

Dalam buletin itu, beliau berkata, pejabatnya kini terbabit dalam pertikaian dengan kerajaan Selangor mengenai audit yang sepatutnya dilakukan ke atas perbelanjaan pejabatnya pada Mac 2016.

Pejabatnya hanya menerima laporan itu 11 bulan kemudian, pada Februari tahun ini.

“Kami membantah kedua-dua proses audit itu yang kami anggap dilakukan tanpa melalui proses sewajarnya, serta hasilnya yang kami sangkal sebagai tidak berasas.

“Kerajaan Selangor kemudiannya terus menyekat pejabat saya selama 3 bulan setengah, walaupun pejabat saya menghantar 4 surat kepada mereka.

“Saya sudah beri mereka notis terakhir selama 14 hari untuk menjawab surat saya, tetapi kerajaan Selangor sekali lagi gagal memberi maklum balas. Kami kemudiannya mendedahkan bantahan kami terhadap audit itu di Facebook.”

Beliau berkata, hanya selepas pendedahan itu, pejabatnya mendapat respons tetapi tindakan kerajaan Selangor menyebabkan beliau tidak mampu lagi meneruskan program kebajikan itu.

Wong memberitahu FMT, walaupun ramai pengundinya “sedih” dengan penggantungan bantuan kebajikan itu, mereka memahami keadaan itu dan yakin ia akan diselesaikan tidak lama lagi.

“Mereka mempunyai keyakinan terhadap pejabat saya kerana ini adalah tahun ke-4 kami mengadakan Bulan Kebajikan dan kami tidak pernah menyalahgunakan program itu.

“Setiap pemohon tahu mereka akan ditemubual dan mereka perlu mengemukakan dokumen relevan,” katanya sambil menambah pejabatnya terkenal dengan pemberian bantuan tanpa prasangka.

“Orang ramai tahu pejabat saya tidak mengamalkan diskriminasi atau memihak kepada sesiapa berdasarkan hubungan dengan parti. Tiada orang diberikan bantuan hanya kerana mereka datang daripada PKR.”

Wong Chen mohon maaf hentikan program kebajikan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.