Pemuda Umno lapor kiriman Facebook hina Agong

Pemuda Umno lapor kiriman Facebook hina Agong

Pengguna Facebook itu sudah membuat penafian dan melaporkan kepada SKMM.

Syamsul-Baharin-Putra-Ahmad-Shibi-fb
IPOH: Pemuda Umno Perak Negeri dan 12 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pengguna laman sosial Facebook yang didakwa menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Sungai Senam, di sini, pada 10 pagi.

Pengguna Facebook tersebut menggunakan nama Catt Ginger yang memuat naik gambar Sultan Muhammad V yang disunting dengan gambar kurang sopan berserta ucapan Selamat Hari Raya pada 25 Jun lepas.

Bagaimanapun, individu berkenaan difahamkan memuat naik kenyataan di laman Facebooknya pada 1 Julai lepas menafikan dia menghina Sultan Muhammad V selain membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Pemuda Umno Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata laporan polis itu dibuat kerana ia dipercayai dengan niat melakukan provokasi agama dan ia menimbulkan ketegangan dan keresahan di kalangan umat Islam.

“Perkara ini dilihat sangat kurang ajar kerana tindakan memperolok Yang di-Pertuan Agong bukanlah perkara yang boleh dilakukan sesuka hati tanpa menerima balasan sewajarnya.

“Malahan provokasi melampau ini bukan sahaja menimbulkan keresahan tetapi membangkitkan kemarahan di kalangan umat Islam negara ini. Provokasi seperti ini jika tidak dibendung dikhuatiri akan menyebabkan ketegangan kaum yang akhirnya akan memudaratkan keharmonian negara kita,” katanya.

Beliau menggesa pihak polis menyiasat dan bekerjasama dengan pihak SKMM terhadap perkara ini.

“Selama ini kita hanya menjatuhkan hukuman ringan, itu tidak memberi satu contoh pengajaran kepada rakyat. Saya harap individu yang terlibat dapat dipenjarakan selain didenda dan bukan hanya membuat kenyataan memohon maaf sahaja.

Kami berharap pihak polis dapat menyiasat dan memberi maklumat secukupnya agar pendakwaan dapat dijalankan oleh pihak pendakwa dan wajar menjadi iktibar kepada pengguna media sosial yang lain agar perkara seumpama ini tidak berulang dan kedaulatan Raja-raja Melayu dan agama Islam tidak lagi sewenang-wenangnya diperolok,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.