Amanah ‘cetek’ dakwa rombongan ke London ‘campurtangan’, kata Abang Johari

Amanah ‘cetek’ dakwa rombongan ke London ‘campurtangan’, kata Abang Johari

Delegasi ke London ialah untuk mengkaji bahan rujukan berkaitan hak Sarawak dalam perjanjian 1963.

johari-ma63
KUCHING:
Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg hari ini membidas Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang mendakwa tindakan kerajaan negeri menghantar peguam ke London berhubung Perjanjian Malaysia 1963 akan mengundang orang luar untuk “campur tangan” dalam hal ehwal dalaman negara.

“Kenyataan beliau mencerminkan kualiti kepimpinan mereka (Amanah). Cetek sungguh pemikiran mereka. Sukar untuk kita bergantung pada kepimpinan seperti itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jerayawara Lembaga Jurutera Malaysia di sini.

Beliau berkata delegasi Sarawak akan berada di London selama kira-kira seminggu dalam misi mencari fakta untuk meneliti sumber dan dokumen berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 yang membawa Malaya, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak menjadi Malaysia.

Sabtu lepas, Abang Johari berkata Sarawak akan menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan mengkaji bahan rujukan berkaitan hak negeri ini mengikut Perjanjian Malaysia 1963.

Pasukan itu akan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.