Ditahan ISA: Mahkamah kekal ganti rugi RM350,000 buat Teresa Kok

teressa-kok-mahkamah-persekutuanPUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan kerajaan perlu membayar ganti rugi RM350,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kerana ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 9 tahun lalu.

Keputusan itu dibuat panel 3 hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum selepas membatalkan permohonan kerajaan untuk mendapat kebenaran merayu dalam kes saman itu.

Panel itu turut memutuskan kos RM10,000 kepada naib pengerusi DAP itu.

Peguam kerajaan, Awang Armadajaya Awang Mahmud mengemukakan 2 keputusan bercanggah Mahkamah Persekutuan sama ada ujian objektif atau subjektif digunakan untuk menentukan tangkapan dan penahanan seseorang.

“Demi kepentingan umum, mahkamah perlu membuat keputusan berhubung isu itu sekaligus,” katanya.

Awang Armadajaya berkata, Mahkamah Rayuan tidak memberi alasan kenapa Kok perlu dibayar ganti rugi teladan dan teruk sebanyak RM150,000.

Peguam, S N Nair menyeru panel hakim menolak permohonan itu kerana mahkamah perlu mengguna pakai ujian objektif yang ditetapkan dalam kes kalimah Allah pada 2014.

Mahkamah tertinggi di Malaysia kemudiannya membatalkan cubaan penganut Kristian dibenar menggunakan kalimah Allah, sekaligus menamatkan pertikaian agak lama sehingga menimbulkan ketegangan agama di negara ini.

Nair berkata, Mahkamah Rayuan sudah memberi alasan untuk pemberian ganti rugi teladan dan teruk terhadap kemudaratan luar biasa ke atas anak guamnya.

Kok mengucapkan terima kasih kepada hakim terhadap pengakhiran kes itu dan peguamnya yang berjuang bagi pihaknya sejak 9 tahun lalu.

“Saya lega dan gembira semuanya sudah berakhir,” kata wanita itu.

Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Rayuan menerbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi dengan berkata, berlaku kesilapan undang-undang apabila hakim menggunakan ujian subjektif dalam kes itu.

“Ia jelas kesilapan undang-undang apabila Mahkamah Tinggi mengguna pakai prinsip ‘stare decisis’ untuk kes yang kini bukan lagi undang-undang bagus,” kata Hakim Datuk Varghese George ketika membacakan penghakiman itu tahun lalu.

Mahkamah Rayuan juga mendapati tuduhan itu, yang menamakan pembabitannya dalam bantahan suara azan, petisyen menurunkan papan tanda Jawi, SMS langsung pembabitannya, dan juga petisyen supaya azan tidak dipasang adalah lapuk.

“Beliau ditahan pada 19 September 2008. Tetapi tuduhan yang dituju kepadanya ialah Februari tahun itu.

“Tidak ada tindakan serta-merta. Polis tidak bertindak atas perbuatannya yang didakwa menimbulkan ancaman awam. Mereka hanya menahannya 7 bulan selepas itu,” katanya.

Varghese berkata: “Polis gagal menunjukkan mereka menyokong dakwaan itu ketika menahannya.”

Mahkamah Rayuan kemudiannya memerintahkan kerajaan membayar RM200,000 ganti rugi am dan RM150,000 lagi ganti rugi am, teladan dan teruk kepada Kok, selain kos sebanyak RM70,000.

Kok memfailkan saman itu pada 13 Mac 2009 mendakwa dia tidak dibenarkan menghubungi ahli keluarga atau peguam selepas ditahan di rumahnya di Pearl Tower, OG Heights, pada 19 September 2008.

Dia mendakwa penangkapan dan penahanannya tidak berasas dan beliau terpaksa melalui tekanan mental, keracunan makanan dan dinafikan hak Perlembagaan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/07/26/teresa-kok-dapat-rm350000-akibat-ditahan-isa/