Mayat bayi tanpa kepala, tangan

Md-Zukir-Md-Isa-bayiSUNGAI PETANI: Mayat seorang bayi berusia 35 minggu yang dipercayai dibuang ditemui dalam keadaan tanpa kepala dan tangan.

Ia ditemukan di hadapan sebuah kilang di Jalan Bakar Arang di sini semalam, mungkin akibat dimamah anjing liar.

Mayat bayi berkenaan sebelum itu dipercayai diletakkan di sekitar kawasan kilang tersebut oleh ibu bayi atau teman ibu itu dengan harapan ada insan yang mengambil untuk memeliharanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa berkata mayat bayi malang itu dijumpai orang awam di kawasan berkenaan pada 4.30 pagi dan dipercayai mati sejak sehari atau dua hari lepas.

“Kepala dan kedua-dua tangan bayi terbabit dipercayai dimakan anjing liar, ini susulan maklumat awal yang mendakwa mayat terbabit dikelilingi anjing sebelum orang awam menyedari bahawa ia adalah mayat bayi.

“Hasil bedah siasat menyebut punca kematian adalah ‘tidak dapat dipastikan,” kata Zukir dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Suspek kes berkenaan belum dapat dikesan setakat ini.