Mana aturcara misi pencarian fakta MA63, soal PKR Sarawak

See-Chee-How-ma63PETALING JAYA: Mengapa kerajaan Sarawak belum mahu sediakan perincian sebenar perjalanan peguam dan menteri negeri ke London untuk mencari fakta mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata naib pengerusi PKR Sarawak.

See Chee How berkata tidak ada kepaduan pada kenyataan setakat ini maka beliau mempertikaikan tujuan sebenar perjalanan itu.

“Pada 15 Jun, ia diumumkan sebagai perjalanan seorang menteri muda ke luar negara untuk mengkaji ‘pelbagai undang-undang yang pernah diluluskan di Parlimen dan yang didapati melanggar hak Sarawak (di bawah MA63)’.

“Dua minggu kemudian, ia menjadi perjalanan oleh ‘sekumpulan peguam (diketuai menteri muda) ke London untuk mencari dan mengkaji sebarang rujukan berkaitan dengan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963’.

“Mutakhir ini, perjalanan ke London itu dikatakan ‘misi pencarian fakta untuk mengkaji dokumen yang membawa kepada Perjanjian Malaysia’,” kata See, dan menambah kerajaan negeri nampaknya tidak mengambil perjalanan itu secara tekun dan kesungguhan.

See berkata Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg mesti memberi penjelasan muktamad dan mendedahkan rancangan dan aturcara perjalanan ke London itu secara terperinci, yang diketuai Menteri Muda Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

“Sebagai suatu misi pencarian fakta rasmi yang dibiayai wang pembayar cukai Sarawak, terma rujukan yang menjadi asas kepada misi itu harus dinyatakan secara jelas dan dimaklumkan kepada rakyat.

“Tidak patut ada kekeliruan mengenai tujuan perjalanan itu, dan terma rujukan harus mengandungi topik dan soalan yang sudah dikenalpasti dan akan ditangani ketika lawatan,” katanya.

See menambah sebarang misi pencarian fakta perlu memilih dan melantik anggota secara cermat berdasarkan kepada kemahiran yang perlu dimasukkan dalam misi itu.

“Pihak berkuasa, agensi, pertubuhan dan semua potensi sumber maklumat utama dan sampingan untuk temubual dan penyelidikan, mesti diketahui, selain aturcara perjalanan yang jelas.”

See mempersoalkan kewajaran perjalanan itu kerana semasa ia diumumkan, 2 rundingan dengan Putrajaya mengenai penurunan kuasa sudah diselesaikan di bawah pentadbiran bekas ketua menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Nampaknya tiada kemajuan di bawah pentadbiran sekarang.

“Ketua menteri mesti menjelaskan kelengahan rundingan ini dan sama ada kita menghadapi sebarang masalah yang menyebabkan perjalanan ke London perlu dilakukan,” katanya.

Perjalanan ke London disahkan kerajaan negeri dengan penyertaan Sharifah Hasidah, Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk JC Fong dan Timbalan Speaker Datuk Gerawat Gala.

Sementara itu, See mendedahkan sumber memaklumkan beliau yang dua “pegawai undang-undang negeri rendah” dalam pasukan itu.

“Kerajaan negeri mesti dedahkan identiti semua anggota pasukan itu dan kepakaran masing-masing, terutamanya apabila butiran setakat ini menyatakan ia sekadar lawatan 1 hari ke Arkib Negara di Kew, London,” katanya.

“Dalam pemikiran rakyat Sarawak, misi pencarian fakta itu sesuatu yang mulia dan penting.”