Kit Siang: Barisan kepimpinan PH bukti perubahan tidak mustahil

Kit Siang: Barisan kepimpinan PH bukti perubahan tidak mustahil

Ketua ahli Parlimen DAP berkata Pakatan Harapan gabungan parti sama taraf di mana tiada parti mengamalkan 'hegemoni' seperti Umno dalam Barisan Nasional.

limkitsiang-ph2
PETALING JAYA: Pemimpin DAP Lim Kit Siang menyangkal dakwaan partinya dipinggirkan dalam barisan kepimpinan baharu Pakatan Harapan selepas ia tidak diberi 3 jawatan tertinggi malah beliau sendiri tidak dilantik ke mana-mana jawatan dalam jawatankuasa itu.

Lim berkata pakatan pembangkang merupakan gabungan parti sama taraf berdasarkan prinsip konsensus, tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang menurut beliau berasaskan hegemoni Umno.

Beliau memuji struktur, kepimpinan dan hala tuju yang diputuskan dalam majlis presiden PH semalam sebagai menyemarakkan kemabli harapan baru dan keyakinan yang perubahan politik di Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 sesuatu yang tidak mustahil.

Pada sidang media selepas mesyuarat itu, PH mengumumkan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik pengerusi gabungan dan ketua umum gabungan, memegang jawatan yang sama disandang dalam parti masing-masing.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik presiden gabungan sementara Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dilantik timbalan presiden gabungan.

Menteri Datuk Seri Salleh Said Keruak di blognya pagi tadi menyoal mengapa tiada jawatan tertinggi diberikan kepada pemimpin DAP walaupun parti itu memiliki jumlah ahli Parlimen paling ramai dalam gabungan itu.

“Apakah DAP dipinggirkan atau ini sengajakan supaya pakatan ini dilihat sebagai didominasi oleh orang Melayu?” kata bekas ketua menteri Sabah itu.

Beliau berkata kemunculan PH tetaplah tidak sama dengan BN yang “teruji kerjasama antara kaumnya dan sikap tolak ansur pemimpinnya tanpa mengabaikan prinsip-prinsip parti,” katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas sidang media di Miri hari ini, Lim menjawab: “Saya bersetuju dengan Salleh yang PH tetap tidak sama dengan BN yang menjadikan Malaysia ‘kleptokrasi sejagat’, dan kami sama sekali tidak mahu menjadi sama dengan BN dalam isu rasuah dan salahguna kuasa.”

“Pakatan Harapan ialah gabungan parti sama taraf, di mana tiada parti mengamalkan hegemoni seperti Umno dalam BN, dan di mana konsensus semua parti komponen menjadi prinsip operasi asas gabungan ini,” katanya.

Lim berkata tiada konsensus dalam BN kerana Umno mengawal pakatan itu, yang menunrutnya boleh dilihat daripada kebisuan parti BN lain dalam kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.