Pakatan Harapan cuba baiki imej sebelum PRU14, kata Annuar

Pakatan Harapan cuba baiki imej sebelum PRU14, kata Annuar

Annuar percaya pakatan itu tidak kukuh kerana pelantikan barisan pimpinannya tidak dibuat secara konsensus.

annuar-pakatan
KOTA BHARU: Struktur kepimpinan baharu Pakatan Harapan usaha pembangkang untuk memperbaiki imej mereka sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata mereka cuba melindungi hakikat pakatan pembangkang itu sebenarnya dipimpin oleh DAP.

“Mereka sangka pilihan raya sudah dekat dan mereka kelam-kabut, mereka cuba mengeluarkan satu senarai kepimpinan yang sebenarnya menggambarkan mereka berdepan dengan masalah dan cuba melindungi keadaan sebenar Pakatan Harapan dipimpin DAP,” katanya.

Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh percaya pakatan itu tidak kukuh kerana pelantikan barisan pimpinannya tidak dibuat secara konsensus.

Semalam, Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinan baharu yang diterajui Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.

Pakatan itu turut menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah) sebagai timbalan presiden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.