‘Layanan tak adil EU jejas eksport minyak sawit, pekebun kecil’

‘Layanan tak adil EU jejas eksport minyak sawit, pekebun kecil’

Malaysia dan Indonesia dijangka bertemu akhir bulan ini bagi membincang dan menyelaraskan isu berkaitan minyak sawit, termasuk misi ke Eropah untuk bertemu pihak dan pemegang kepentingan terlibat.

kelapa-sawit-eu
KUALA LUMPUR:
Malaysia dan Indonesia hari ini menyuarakan kekecewaan terhadap layanan tidak adil ke atas minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) yang memihak kepada minyak sayuran dan komoditi lain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Perdagangan Indonesia, Enggartiasto Lukita bertemu di Kuching, Sarawak, pada 13 Julai lalu sempena mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan Bersama Malaysia-Indonesia kali ke-3.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan isu resolusi EU ke atas minyak sawit dan penanaman semula hutan hujan.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua menteri berkenaan menimbang untuk membawa isu ini ke Pertubuhan Perdagangan Dunia kerana resolusi EU itu merupakan arahan, selain berbentuk diskriminasi.

Mereka berkata, resolusi EU itu yang merupakan amalan perlabelan tidak adil oleh sektor swasta di EU, bukan sahaja akan menjejaskan eksport minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia ke pasaran EU, malah kehidupan berjuta-juta pekebun kecil.

Malaysia dan Indonesia juga menerusi kerjasama Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), dijangka bertemu pada akhir bulan ini bagi membincang dan menyelaraskan isu berkaitan minyak sawit, termasuk misi bersama CPOPC ke Eropah untuk bertemu pihak dan pemegang kepentingan terlibat.

Najib: Malaysia, Indonesia akan tindak balas negara boikot kelapa sawit

Perancis sekat minyak sawit, Malaysia ugut balas

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.