7 tahun selepas aduan, Suaram alu-alukan kes rasuah berkait kapal selam Scorpene

7 tahun selepas aduan, Suaram alu-alukan kes rasuah berkait kapal selam Scorpene

Kes berkenaan sudah lama tidak mempunyai perkembangan, dan tindakan mendakwa 2 pegawai tinggi syarikat terlibat dalam penjualan kapal selam kepada Malaysia diterima baik Suaram.

suaram-Sevan-Doraisamy-scorpene
PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram), yang melaporkan kepada pihak berkuasa Perancis mengenai salah laku pembelian 2 kapal selam Scorpene oleh Malaysia, hari ini mengalu-alukan pendakwaan terhadap 2 eksekutif syarikat pertahanan.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata, selepas tempoh lama kes tersebut tidak mempunyai perkembangan, berita terbaharu itu sesuatu yang baik.

“Lama dah kita tunggu, memang ini yang kita harapkan kalau kes ini berjalan. Rakyat Malaysia kena tahu isu dalam kes ini,” katanya kepada FMT.

AFP hari ini melaporkan penyiasat Perancis mendakwa 2 pegawai syarikat yang terlibat dalam penjualan 2 kapal selam Scorpene bernilai AS$1.1 bilion kepada Malaysia pada 2002.

Mereka ialah Philippe Japiot, bekas pengerusi syarkat DCNI, dan Jean-Paul Perrier, bekas ketua pegawai eksekutif syarikat pertahanan gergasi Thales, yang disoal siasat Mei lalu atas tuduhan rasuah dan komisen.

Suaram pertama kali membawa aduan mengenai salah laku pembelian kapal selam Scorpene kepada pihak penyiasat Perancis pada 2010.

Ia mendakwa pembuat kapal selam Perancis membayar komisen lebih €114 juta (RM570 juta berdasarkan tukaran semasa) kepada sebuah syarikat kosong yang dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda, bekas kenalan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Razak yang dikaitkan dalam pembunuhan kekasihnya Altantuya Shaariibuu pada 2006, dibebaskan daripada pertuduhan itu pada 2008.

Sevan berkata kedua-dua individu yang didakwa Perancis itu adalah orang penting yang mengetuai organisasi berkenaan.

“Tengok apa yang jadi selepas ini,” katanya, sambil menambah pihaknya akan menghubungi peguam di Perancis bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kes berkenaan.

Perancis dakwa 2 dalam kes rasuah pembelian Scorpene

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.