Penyanyi Linkin Park, Bennington bunuh diri

Chester-BenningtonLOS ANGELES: Penyanyi utama Linkin Park, Chester Bennington, ditemui mati pada Khamis akibat membunuh diri seminggu menjelang konsert jelajah kumpulan rock itu di Amerika Syarikat.

Pejabat koroner daerah Los Angeles berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditemui mati di rumahnya di Palos Verdes.

Jurucakap pejabat koroner, Brian Elias berkata, kematian itu disiasat sebagai kemungkinan membunuh diri dan portal berita hiburan, TMZ memetik sumber penguat kuasa undang-undang sebagai berkata, Bennington menggantung dirinya ketika keluarganya keluar bandar.

“Terkejut dan sedih, tetapi ia benar. Kenyataan rasmi akan dikeluarkan,” tweet vokalis dan seorang daripada pengasas Linkin Park, Mike Shinoda.

Bennington mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan alkohol. Beliau pernah mendedahkan usahanya melawan kejahatan dalam dirinya apabila Linkin Park mula terkenal pada 2000 dengan album pertama “Hybrid Theory” yang terlaris dan menjadi sebuah daripada kumpulan rock alternatif paling popular untuk generasi mereka.

Album terbaru kumpulan itu “One More Light” dikeluarkan Mei lalu dan Linkin Park sibuk dengan konsert jelajah Amerika Selatan dan Eropah sehingga 2 minggu lalu.

Kematian Bennington berlaku seminggu sebelum kumpulan itu memulakan konsert jelajah AS pada 27 Julai ini di Mansfield, Massachusetts. Ia juga berlaku pada hari sama penyiaran video muzik mereka berjudul “Talking to Myself.”

“Ini menyedihkan kami. Bunuh diri ialah syaitan yang berjalan di bumi di kalangan kita,” tweet sebuah kumpulan AS, One Republic.

Bennington pernah berkahwin sebanyak 2 kali dan mempunyai 6 anak. Beliau berkawan rapat dengan vokalis utama Soundgarden, Chris Cornell yang membunuh diri di Detroit, Mei lalu.

Peminatnya mendapati Bennington membunuh diri pada ulang tahun kelahiran ke-53 Cornell.

“Apabila saya fikir hati saya tidak akan sedih lagi,” tulis isteri Cornell, Vicky di Twitter pada Khamis selepas mendapat tahu kematian Bennignton.

Album pertama Linkin Park “Hybrid Theory” memuatkan lagu popular seperti “In the End”, “One Step Closer” dan “Crawling” yang berjaya memenangi anugerah Grammy pada 2002 untuk persembahan rock terbaik.

Kumpulan itu pernah bekerjasama dengan penyanyi rap, Jay-Z menerusi lagu “Numb/Encore” pada 2004 yang dimuatkan dalam album “Collision Course” dan berjaya meraih anugerah Grammy pada 2006 untuk kolaborasi rap/sung terbaik.

Jualan album kumpulan rock dari California itu melebihi 70 juta di seluruh dunia.