Kit Siang dengan sinis sangkal Shahrizat pertikai lantikan Mahathir

kit-siang-shahriat

PETALING JAYA: Lim Kit Siang dengan sinis menyangkal dakwaan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kononnya pelantikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) adalah “wayang” untuk menutup dominasi DAP dalam gabungan pembangkang itu.

Ahli Parlimen Gelang Patah ini berkata, “propaganda” itu hanya menunjukkan percanggahan kenyataan pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang sebaliknya mendakwa barisan kepimpinan baharu PH menunjukkan DAP telah kehilangan kuasa.

“Saya tidak terkejut apabila Shahrizat membuat kenyaatan mengarut seperti itu, tetapi saya memaafkannya kerana beliau perlu berkata demikian kerana dibayar gaji sebagai penasihat khas kepada perdana menteri dalam soal hal ehwal wanita. Tetapi, ia 1 pembaziran dana awam,” kata beliau.

“Saya mahu memberi (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) dan jurupropaganda beliau 1 nasihat percuma. Mmereka harus konsisten dan boleh dipercayai atau kempen yang merupakan propaganda pembohongan, berita palsu dan maklumat palsu akan terdedah kelak,” kata beliau menerusi kenyataan media hari ini.

Selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita Umno Bahagian Gelang Patah pada 21 Julai lalu, Shahrizat  menyifatkan pelantikan Dr. Mahathir sebagai pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP adalah ‘wayang’.

Katanya, pelantikan bekas presiden Umno itu dengan beberapa pemimpin Melayu juga bertujuan untuk mengaburi mata pengundi Melayu.

“Kalau kita tengok sebenarnya yang menjadi ketua umum untuk Pakatan Harapan ini ialah Lim Kit Siang (DAP).

“Tetapi dia sembunyi di belakang sebab mereka dahagakan undi orang Melayu, sebab itu dia buat wayang kulit, sandiwara, tu kononnya wujudnya pemimpin Melayu.

“Tetapi sebenarnya yang akan membuat keputusan adalah DAP, jadi rakyat Malaysia kena berhati-hati. Kalau mereka pilih pembangkang, maknanya mereka pilih DAP untuk jadi pemimpin negara,” katanya.

Kit Siang berkata, pemimpin BN terperangkap dengan percanggahan kenyataan yang mendakwa pemimpin DAP adalah boneka dalam PH dan mendakwa pemimpin DAP telah diketepikan dan dipinggirkan.