Bekas hakim: Malanjum boleh diangkat jika ketua hakim tolak pelanjutan

gopal-sri-ram-3

PETALING JAYA: Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum hanya boleh diangkat sekiranya Ketua Hakim Tan Sri Raus Sharif menolak pelanjutan tempoh jawatan mulai 3 Ogos, kata seorang bekas hakim.

Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman kemudiannya boleh mencadangkan Majlis Raja-Raja melantik Richard ke jawatan tertinggi badan kehakiman itu.

“Prosesnya mudah,” katanya, dan menambah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin boleh menyandang jawatan itu sebagai pemangku sehingga 27 September sementara menunggu pelantikan Malanjum dimuktamadkan.

Pilihan lain iala mahkamah mengisytiharkan pelantikan Raus tidak berperlembagaan, yang akan membawa kepada pelantikan baharu.

Gopal berkata Malanjum paling layak kerana beliau paling lama berkhidmat di Mahkamah Persekutuan dan memiliki pengalaman yang luas.

“Sekaligus mengiktiraf kesamaan taraf negeri-negeri Malaysia Timur dan bukannya Malaysia Barat memonopoli jawatan itu.”

Gopal menjawab seruan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim yang menggesa ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak serta pembangkang untuk mencalonkan Malanjum ke jawatan itu, susulan kontroversi pelanjutan tempoh jawatan Rais.

Zaid berkata Malanjum tidak boleh dilangkaui kerana agama atau keturunannya.

Seruan Zaid itu menyusuli gesaan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang berkata Parlimen perlu menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menasihatkan Agong melantik Malanjum sebagai ketua hakim negara.

Pelanjutan tempoh jawatan Raus dikritik pengamal undang-undang, termasuk peguam kanan dan bekas ketua hakim mempertikaikan kesahannya di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Pada 7 Julai lalu, kerajaan mengumumkan Agong meluluskan nasihat bekas ketua hakim Tun Arifin Zakaria melantik Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri berkata Agong mengekalkan Raus dan Zulkeflki atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja yang bersidang pada Mei.

Perkhidmatan Raus dilanjutkan 3 tahun mulai 4 Ogos sementara Zulkefli kekal untuk 2 tahun lagi mulai 28 September.

Pengamal undang-undang, termasuk Badan Peguam Malaysia, mempertikaikan sama ada pelantikan Raus dan Zulkefli itu sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Mereka berkata pelanjutan itu memberi gambaran para hakim kanan sedia ada tidak cukup layak untuk jawatan itu.

Malanjum dilantik hakim Mahkamah Persekutuan pada 2004 dan dilantik ke kedudukannya sekarang ini pada 2006, mengatasi kekananan Raus yang dilantik ke Mahkamah Persekutuan pada 2009.

Beliau akan bersara Oktober tahun depan.