Pakatan hantar perlembagaan kepada JPPM hari ini

mahathir-mohamad-ros-jjpm-pakatan-harapan-phKUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menghantar draf perlembagaannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hari ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi PH itu berkata, draf berkenaan dihantar menerusi atas talian dan wakil pimpinan gabungan itu turut menemui JPPM pada 3.30 petang tadi.

“Perlembagaan parti kita sampaikan kepada JPPM melalui atas talian atas kehendak JPPM sendiri. Kita bersetuju dengan draf perlembagaan kita.

“Kita harap tidak ada masalah, namun kalau ada pembetulan yang perlu dibuat atas arahan JPPM, kita sedia membuatnya,” katanya pada sidang media di pejabat ketua pembangkang di Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, PH turut menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya yang diketuai Timbalan Presidennya merangkap Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PPBM itu berkata, ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Gobind Singh Deo pula dilantik mengetuai Biro Guaman PH, manakala Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua pula memimpin Biro Penerangan.

“Jawatankuasa Sabah dan Sarawak juga akan diwujudkan dan sayap angkatan Muda dan Wanita akan ditubuhkan. Ia akan disahkan mesyuarat Majlis Presiden nanti,” katanya.