19 soalan 1MDB dibenarkan, Pandikar kata beliau ikut peraturan

pandikar_talk_newKUALA LUMPUR: Sebanyak 19 soalan berkaitan 1MDB dibenarkan untuk dijawab di Dewan Rakyat pada sesi kali ini, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau juga menafikan dakwaan bertindak sewenang-wenangnya dalam perbahasan berkaitan 1MDB, kerana keputusan berdasarkan kepada peraturan dan panduan yang sudah ditetapkan.

“Pada sesi ini sebanyak seribu lebih soalan dihantar oleh ahli Parlimen. Saya kena pastikan setiap soalan tidak melanggar peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Saya mesti ikut peraturan mesyuarat 23(c), kerana ada soalan yang tidak benar, sengaja digunakan untuk tujuan politik. Empat soalan mengenai 1MDB juga dibenarkan Isnin lalu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Peraturan mesyuarat Dewan Rakyat 23(C) menyatakan sesuatu pertanyaan tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, puji atau keji atau mengandungi kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakitkan hati ataupun mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara-perkara remeh.

Sebelum ini, pembangkang mendakwa Pandikar gagal menjalankan tanggungjawab dengan telus apabila menggugurkan soalan berkaitan 1MDB.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertikaikan mengapa 30 soalan pembangkang mengenai 1MDB ditolak, yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri menjawab soalan sekitar skandal itu di Dewan Rakyat.

Pandikar menjelaskan kerajaan meletakkan siasatan mengenai 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi, menyebabkan beliau tidak boleh membenarkan isu itu dibincangkan di Dewan Rakyat, mengikut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat 23(f).

“Apabila kerajaan menetapkan ia rahsia, saya kena akur. Jika saya benarkan ia dibahas dan dibicarakan, saya sendiri sudah melanggar peraturan mesyuarat, bahkan saya sendiri tidak boleh baca mengenai siasatan dilakukan mengenai 1MDB,” katanya.

Peraturan mesyuarat Dewan Rakyat 23(f) menetapkan sesuatu pertanyaan itu tidak boleh meminta keterangan berkenaan dengan apa-apa perkara rahsia.

Jelas Pandikar lagi, isu 1MDB juga masih dalam siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), maka beliau perlu menimbangkan perkara itu berdasarkan kepada peraturan mesyuarat Dewan Rakyat 36(2).

Peraturan mesyuarat Dewan Rakyat 36(2) menyatakan tidak boleh disebutkan apa-apa perkara yang sedang dalam timbangan mahkamah, sekira-kira pada timbangan pengerusi harus merosakkan kepentingan-kepentingan pihak yang berbicara itu.

“Dalam peraturan mesyuarat perkara itu masih dalam pertimbangan mahkamah. Apabila sampai soalan di Parlimen, speaker terpaksa fikir dahulu adakah akan jejaskan pihak yang menyaman dan disaman.”

“Dengan kemajuan teknologi kini, keputusan saya ini mungkin akan menganggu siasatan dan keputusan mahkamah di Amerika Syarikat. Peraturan mesyuarat tidak sebutkan hanya mahkamah di Malaysia sahaja atau mahkamah di Sabah sahaja, ia secara umum.”