Hanya kanak-kanak divaksin daftar tadika, kata menteri

Subramaniam_vaksin_600

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji untuk membenarkan kanak-kanak yang divaksinkan sahaja mendaftar di tadika, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata cadangan itu bukan suatu diskriminasi terhadap kanak-kanak yang tidak divaksin, sebaliknya sebagai langkah perlindungan terhadap kanak-kanak lain di tadika.

“Ia masih di peringkat kajian. Keputusan akan dibuat selaras dengan penerimaan rakyat Malaysia,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) mengenai sama ada kerajaan mahu mengenakan tindakan lebih tegas kepada ibu bapa yang enggan memberi imunisasi kepada anak-anak di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, pendekatan itu turut diamalkan di Australia apabila mewajibkan kanak-kanak yang divaksinkan sahaja boleh mendaftar.

Dr Subramaniam berkata kementerian juga bekerjasama dengan agensi lain dalam menyediakan maklumat tepat mengenai kepentingan suntikan vaksin.

“Antara yang dilaksanakan adalah mewujudkan kumpulan advokasi imunisasi, menganjurkan forum dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menyediakan maklumat di portal MyHealth untuk rujukan masyarakat,” katanya.