Najib berjaya celah saman Zaid terhadap AmBank

Najib berjaya celah saman Zaid terhadap AmBank

Mahkamah Tinggi membenarkan Najib mencelah saman Zaid Ibrahim memaksa AmBank mendedahkan butiran akaun bank perdana menteri.

Americk-Sidhu_Zaid-Ibrahim_law_600
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Najib Razak berjaya dalam usaha untuk mencelah saman bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim yang memaksa AmBank mendedahkan butiran 5 akaun milik perdana menteri yang didakwa menerima deposit RM2.6 bilion dan RM42 juta.

Peguam Zaid, Americk Sidhu berkata, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib atas sebab beliau mempunyai kepentingan dalam usaha Zaid mendapatkan butiran akaun bank.

Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail menetapkan 15 September untuk pengurusan kes.

Americk menambah “perjalanan masih jauh” sebelum perbicaraan utama.

“Sekiranya permohonan memaksa butiran akaun bank didedahkan itu dibenarkan, pihak bank masih boleh pertikaikan perintah itu,” katanya.

Peguam Najib, Wan Azmir Wan Majid berkata oleh kerana Najib kini sebahagian dari kes mahkamah Zaid, beliau perlu menyerahkan jawapan kepada afidavit yang difailkan sebelum ini.

Zaid memfailkan saman pada November 2016 untuk memaksa AmBank mendedahkan butiran 5 akaun Najib.

Beliau juga mahu Ambank Islamik Bhd mendedahkan sumber dana masuk dan penerima bayaran yang dibuat dalam tempoh akaun dibuka sehingga ditutup pada 30 September tahun lepas.

Zaid berkata beliau perlukan maklumat itu untuk menyokong satu lagi samannya terhadap Najib, anak tirinya, Riza Aziz, 1MDB dan kerajaan Malaysia.

Beliau memfailkan tindakan undang-undang pada Ogos 2016 untuk mendapatkan kembali AS$731 juta dan RM42 juta yang dimasukkan ke akaun bank perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.