Asri jawab Harussani, petik hujah Imam Hanifah bela anak luar nikah

asri-Harussani-ZakariaPETALING JAYA: Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin hari ini berkata perbezaan pendapat imam dalam tafsiran menyentuh soal agama perlu diterima selagi ia berdasarkan hujah, dan ini termasuk soal status anak luar nikah yang menjadi perdebatan hangat sejak penghakiman Mahkamah Rayuan minggu lalu.

Asri berkata demikian dipercayai sebagai respon terhadap Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang membidasnya kerana menyokong keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak luar nikah dibinkan dengan nama bapa kandungnya, berbeza daripada amalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membinkan anak sedemikian dengan nama “Abdullah”.

Harussani yang mempersoalkan keputusan itu berkata pendirian Asri itu seperti “menghalalkan zina”.

“Benda yang diputuskan sejak berzaman tidak boleh ubah, sebab ia berasaskan Al-Quran, hadis, ijma (persetujuan) ulama. Kenapa kita nak melawan hadis? Saya harap ulama ini harus berhati-hati, kita pakailah ijma yang telah dibuat berkurun lamanya,” katanya.

Bagaimanapun, Asri dalam catatan Facebook hari ini memetik pandangan beberapa ulama silam termasuk Imam Abu Hanifah yang menjadi rujukan mazhab Hanafi, mazhab dengan pengikut paling ramai di dunia Islam.

“Jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan lalu mengandung disebabkan perzinaan itu, aku berpendapat TIDAK SALAH untuk dia berkahwin dengannya dan menutupinya (aib) dan anak itu dikira anaknya,” Asri memetik kitab karangan Imam Ibn Qudamah, Al-Mughni yang memetik kata-kata Abu Hanifah.

Asri berkata pandangan sama Abu Hanifah turut dikongsi beberapa tokoh Islam seperti Ibn Taimiyyah dan Rashid Rida, termasuk ulama yang menjadi rujukan semasa seperti Dr Yusuf al-Qaradawi

“Kesemua mereka merupakan ilmuwan terbilang. Mereka imam mujtahid. Bahkan terkenal dengan kewarakan dan kegemilangan ilmu seperti Al-Hasan al-Basri, Ishaq bin Ruhuyah dan Sulaim bin Yasar.

“Apakah kita ingin menuduh mereka menghalalkan zina? Ataupun kita dangkal dalam membaca hujah dan alasan pihak yang lain?!” soal Asri.

Mahkamah Rayuan minggu lalu menegur JPN kerana bertindak di luar kuasa apabila meletakkan “bin Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak yang diberikan taraf luar nikah ketika kelahirannya.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dalam penghakimannnya berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam, dan sebarang fatwa tidak boleh dijadikan rujukan dalam hal sivil.

Ia mengundang kritikan beberapa pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menyeru umat Islam bersatu di belakang pihak berkuasa agama bagi merayu keputusan mahkamah itu.

Hati-hati jangan halalkan zina, Harussani bidas Asri