Keputusan Melaka beli balik hotel bawa kerugian RM4.6 juta

audit-melaka

PETALING JAYA: Ketua audit negara menyifatkan keputusan sebuah agensi kerajaan Melaka untuk membeli balik sebuah hotel yang dijualnya 13 tahun dahulu menyebabkan kerugian sebanyak RM4.57 juta.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang diterbitkan semalam, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) membina Hotel MITC di Ayer Keroh pada 2002, dan siap dibina 2 tahun kemudian pada kos RM15.94 juta.

Pada 2004, PKNM menjual hotel itu kepada Syarikat Intelek Edaran (SIE) untuk RM22 juta, dan perjanjian dicapai pada 28 Julai 2004 di mana SIE akan membayar 10% selepas menandatangani perjanjian itu, dengan baki dibayar secara berjadual untuk tempoh 10 tahun.

Penalti 10% dikenakan untuk pembayaran lewat. SIE juga mengambil pinjaman RM15 juta dari SME Bank Berhad untuk tujuan pembelian itu.

Pada 2005, SIE gagal melangsaikan bayaran sebanyak RM4.71 juta dan merayu PKNM membuat perjanjian tambahan untuk satu jadual pembayaran balik baharu untuk tempoh 15 bulan berkuatkuasa Jun 2005, dengan penalti 5% dikenakan untuk pembayaran lewat.

Audit mendapati meskipun SIE berhutang baki RM4.71 juta dengan PKNM, nama hak milik hotel tersebut di atas geran sudah bertukar.

Selepas 11 tahun, SIE masih berhutang sebanyak RM3.16 juta dengan PKNM, dan dengan hotel tersebut berdepan perampasan dan SIE dalam proses penggulungan, PKNM memulakan rundingan untuk membeli balik hotel itu.

Keseluruhannya, PKNM kerugian RM4.57 juta dalam bentuk tunggakan dan penalti lambat yang terhutang kepadanya, bayaran faedah dan kos guaman.

Laporan audit itu berkata berdasarkan sebuah memo pada 2016, pengurusan PKNM dan pengerusinya, Datuk Seri Idris Haron, yang juga ketua menteri Melaka, membincangkan pembelian balik hotel itu untuk RM19 juta seperti yang dipersetujui dengan pihak bank.

Pembelian hotel itu akan dilakukan dengan pinjaman bank sebanyak RM25.70 juta, termasuk RM17 juta untuk membeli balik hotel itu, RM7.56 juta untuk kos pengubahsuaian dan RM1.14 juta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman berjumlah RM50.70 juta termasuk RM25 juta bayaran faedah,” kata Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad.

“RM4.57 juta hutang yang masih belum dikutip dan tambahan sejumlah RM0.16 juta untuk pembelian semula hotel tersebut.”

Menurut laporan beliau, PKNM cuba mendapatkan kembali wang yang terhutang kepadanya melalui penstrukturan semula pembayaran.

Ia menambah, pembelian balik hotel yang terletak di kawasan strategik itu antara cara agensi itu mempelbagaikan perniagaannya, merangsang pelancongan dan industri perhotelan.

Awal bulan ini, NST Online melaporkan hotel MITC kembali beroperasi, 2 tahun selepas menghentikan perniagaannya.

Pengurus Sazali Sabri dipetik sebagai berkata hotel itu dibeli dan dibangunkan semula oleh PKNM pada kos RM30 juta.