JPN mesti ikut arahan mahkamah walaupun tak setuju, kata Hanipa Maidin

Hanipa-Maidin_law_600

PETALING JAYA: Peguam dan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu menghormati keputusan Mahkamah Rayuan dengan menghentikan amalan membinkan nama anak luar nikah dengan “Abdullah”, walaupun ia tidak setuju dengan penghakiman yang dikeluarkan minggu lalu.

“Saya tak setuju dengan JPN. Kalau ikutkan, saya tak setuju keputusan mahkamah itu tetapi kena terima keputusan mahkamah,” kata ahli jawatankuasa pusat Amanah itu.

“Kenapa nak lawan mahkamah? Keputusan tak adil boleh kritik, tetapi tak hormat tak betul.

“Saya tak sokong langsung JPN dan tak boleh terima langsung,” katanya ketika menyertai perbincangan mengenai isu “Bin Abdullah” malam tadi.

Isu pendaftaran anak luar nikah menjadi hangat selepas Mahkamah Rayuan berkata JPN tiada hak untuk menafikan nama bapa kandung anak itu pada sijil kelahiran.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohd Yazid Ramli dilaporkan berkata pihaknya akan meneruskan amalan itu sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan ibu bapa seorang kanak-kanak Islam untuk membinkan anak dengan nama bapa, berkata JPN perlu bertindak selari dengan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 kerana akta tersebut tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” katanya, sambil mempertikaikan amalan meletakkan nama “bin Abdullah” sebagai menjurus kepada penghinaan anak yang tidak berdosa.

JPN sebelum itu menolak permintaan ibu bapa menggunakan nama bapa kandung dalam sijil kelahiran, berdasarkan fatwa 1981.

Hanipa bagaimanapun berkata kes itu sepatutnya dirujuk ke Mahkamah Syariah kerana mahkamah sivil tidak dilatih dalam undang-undang Islam.

“Bagi saya, ada beza pendapat apabila mengatakan (bin Abdullah) itu menghukum bayi. Sebenarnya semua yang terlibat dalam zina itu dihukum.

“Sepatutnya, kes ini diputuskan di Mahkamah Syariah lebih-lebih lagi jika ada perbezaan rujukan fatwa mengikut negeri masing-masing.”

Hanipa tidak menolak yang pentafsiran Mahkamah Rayuan itu betul.

“Cuma isu di sini dari segi bidang kuasa,” tambahnya.