Badan pengguna alu-alukan dasar penentuan harga tunggal

Badan pengguna alu-alukan dasar penentuan harga tunggal

Fomca dan MCM memuji rancangan kerajaan untuk memasukkan GST dan caj lain dalam satu tanda harga bagi mengelakkan kekeliruan dan keadaan yang memalukan di kaunter pembelian.

fomca-2
PETALING JAYA:
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memuji cadangan dasar penentuan harga tunggal yang mewajibkan perniagaan memaparkan harga betul barangan mereka.

Naib Presiden Fomca Yusof Abdul Rahman berkata keputusan kerajaan itu satu langkah besar ke arah membantu pengguna semasa membuat pembayaran di kaunter pembelian.

“Pengguna selalu terkeliru. Selalunya, harga yang tertera pada tanda harga berbeza dengan harga lebih tinggi yang dibayar di kaunter pembayaran,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Dewan Rakyat semalam.

Hamzah berkata kerajaan tidak lama lagi akan mewajibkan peniaga dan ahli perniagaan memaparkan harga betul barangan yang memasukkan GST serta caj kad kredit.

Sekarang ini harga yang dipaparkan di beberapa kedai tidak memasukkan tambahan 6% GST untuk barangan tertentu.

Presiden Gerakan Pengguna Malaysia Darshan Singh Dhillon juga mengalu-alukan langkah itu kerana ia akan memberi kepastian kepada pengguna dan mereka tidak perlu lagi bimbang akan kos tersembunyi.

“Dalam banyak kejadian, pengguna perlu membayar harga lebih tinggi di kaunter daripada apa yang dipaparkan,” katanya kepada FMT.

“Bagi mengelakkan perasaan malu, pengguna terpaksa membayar untuk barangan yang mereka tidak akan beli jika mereka tahu harga betul,” katanya.

Beliau berkata memaparkan harga betul akan membolehkan pengguna membandingkan barang untuk harga terbaik. Ia juga akan mewujudkan keseragaman dalam kalangan perniagaan, seterusnya menambahbaik persaingan.

Dasar penentuan harga tunggal itu sebahagian daripada pindaan ke atas Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan di Dewan Rakyat semalam.

Hamzah dilaporkan media sebagai berharap dasar itu akan dilaksanakan tahun ini.

Afiqah Farieza menyumbang kepada laporan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.