Selepas Jamal, ratusan pemuda Gombak gempur pusat judi haram

Selepas Jamal, ratusan pemuda Gombak gempur pusat judi haram

Sekumpulan pemuda dari Gombak melantik diri sebagai 'penguat kuasa' melakukan serbuan bagi memaksa premis perjudian haram di daerah itu menghentikan operasi.

judi2154
PETALING JAYA:
Disebabkan tidak berpuas hati dengan lambakan pusat perjudian haram, sekumpulan pemuda dari Gombak didakwa membentuk “pasukan penguatkuasaan” sendiri dan menyerbu premis di daerah itu sejak 11 malam tadi.

Sin Chew Daily melaporkan ratusan “penguat kuasa” dikatakan menyerbu sebuah premis perjudian haram dan bertindak menutup suis elektrik bagi memaksa pusat terbabit menghentikan operasinya.

Difahamkan, keadaan dalam pusat itu tegang buat seketika, tetapi tiada pergelutan berlaku.

Menurut jurucakap kumpulan pemuda yang dipetik akhbar itu, pusat judi terbabit memulakan operasi sejak akhir 2015 dan hasil serbuan mendapati ada di kalangan pelanggannya semuda usia 15 tahun.

Oleh itu, mereka menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis dan imigresen mengambil tindakan segera.

Disember lalu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos bersama 100 pengikutnya menyerbu 2 pusat perjudian haram di Jalan Kosas, Ampang Jaya, bagi membuktikan dakwaannya kerajaan negeri kurang melakukan penguatkuasaan ke atas premis perjudian haram.

“Kita mempersoalkan bagaimana menteri besar membenarkan pusat judi ini beroperasi. Ada juga yang diberikan lesen,” katanya sambil mendakwa 2 premis itu antara 400 pusat judi dan 600 rumah urut yang beroperasi di Ampang.

Beliau mendakwa tindakan memberi lesen kepada pengusaha premis judi menyukarkan tugas polis membanteras kegiatan judi haram.

Susulan itu, Jamal direman 5 hari mulai 3 Februari lalu, bagi membantu siasatan berhubung serbuan ke atas beberapa premis perjudian haram di sekitar Selangor, Disember lalu. Beliau disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan berkata, Jamal disiasat kerana pusat permainan video yang diserbunya kehilangan beberapa barangan berharga.

“Apabila kita memasuki mana-mana premis ataupun merampas menggunakan kekerasan daripada orang lain tanpa kebenarannya, itu dianggap perbuatan yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘samun’.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.