Sidang Dewan Rakyat dijangka hingga larut malam

Sidang Dewan Rakyat dijangka hingga larut malam

Ia bagi mempercepatkan 4 rang undang-undang.

Parlimen
KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini dijangka berterusan sehingga lewat malam ini, dalam usaha kerajaan mempercepatkan 4 rang undang-undang (RUU).

RUU itu ialah mengenai Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia, pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah (Poca), RUU Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan RUU Perkapalan Saudagar (Pindaan Dan Perluasan).

Usul supaya perdebatan diteruskan tanpa had masa dikemukakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

RUU pindaan Poca adalah untuk membenarkan tahanan dibawa kepada pegawai inkuiri dan Lembaga Pencegahan Jenayah untuk memulakan proses siasatan.

Pindaan itu sebelum ini dibantah kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty, yang berkata ia membolehkan seseorang ditahan tanpa bicara, sementara dia tidak dapat membuktikan tidak bersalah.

Sementara itu, RUU Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) dijangka menimbulkan perdebatan hangat selepas keputusan kerajaan menarik balik RUU itu.

RUU itu sebelum ini dikritik PAS kerana ia melarang anak bawah umur diislamkan oleh ibu atau bapa yang bercerai, selepas salah seorang pasangan masuk Islam.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.