Najib tidak akan adakan PRU14 tahun ini, kata Rafizi

rafizi-najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tidak akan mengadakan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tahun ini ekoran sentimen ekonomi yang tidak baik, kata Rafizi Ramli.

Naib presiden PKR itu berkata, berdasarkan tinjauan Invoke ke atas 3,783 pengundi berdaftar di seluruh negara, lebih 60% pengundi berpendapat ekonomi negara berada di laluan salah dan keadaan Malaysia lebih teruk daripada 4 tahun lepas.

“Masa untuk mengadakan pilihan raya umum ialah selepas pembentangan Bajet 2018 dan tarikhnya mungkin pada November. Jika beliau berbuat demikian, beliau ada September dan Oktober untuk memperbaiki keadaan.

“Bagaimanapun, Najib tidak mungkin menjelmakan apa-apa dalam 2 bulan ini, walaupun dengan bajet mesra rakyat yang boleh memperbaiki sentimen ekonomi secara drastik.

“Mengadakan pilihan raya umum pada November ialah risiko amat besar dan Najib bukan orang yang akan mengambil risiko besar.

“Sebab itu saya tidak rasa pilihan raya akan diadakan tahun ini. Kemungkinan tahun depan,” katanya pada sidang akhbar hari ini untuk mengumumkan hasil tinjauan Invoke.

Tinjauan interaktif menerusi temu bual telefon yang diadakan selama sebulan dari 10 Jun sehingga 14 Julai lalu, memfokuskan keadaan ekonomi negara, kos sara hidup dan harga kenaikan harga barang.

Sebanyak 59% daripada 3,783 responden itu ialah orang Melayu, Cina (26%), Bumiputera Sabah dan Sarawak (8%) serta India (7%).

Antara soalan dikemukakan dalam tinjauan itu:

– Jika rakyat berpendapat ekonomi negara di laluan betul;
– Jika ekonomi keluarga lebih baik sekarang berbanding 4 tahun lalu;
– Peratus kenaikan dalam perbelanjaan bulanan untuk makanan dan barangan;
– Peratus kenaikan bil utiliti bulanan;
– Peratus kenaikan perbelanjaan untuk petrol dan diesel; serta
– Peratus kenaikan dalam perbelanjaan keperluan seperti baju dan perbelanjaan berkaitan sekolah.

Rafizi berkata, kadar respons terhadap tinjauan itu rendah kerana ia dilakukan kira-kira 2 minggu sebelum dan selepas Aidilfitri.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Najib bergelut dengan sentimen pesimistik terhadapnya kerana ramai pengundi mengadu kehiduapan mereka semakin susah.

“Mereka tidak dipengaruhi retorik atau skandal politik, tetapi bimbang dengan kos sara hidup.

“Jika Najib memperbaiki ekonomi dan mampu mengubah ke arah lebih baik, anda akan lihat sentimen itu berubah.

“Begitu juga sebaliknya. Jika sentimen kekal negatif, pilihan raya tidak patut diadakan sekarang.”

Rafizi mendapati wujud ketidaksepadanan antara statistik ekonomi dan keadaan sebenar, serta ada yang menafikan hubung kait kesukaran memenuhi keperluan dan kenaikan harga barang.

Sentimen umum terhadap pengurusan ekonomi oleh Najib sangat rendah dan ketika isu ekonomi menentukan parti mana akan dipilih pengundi, sentimen amat negatif menunjukkan pilihan raya umum tidak akan memihak kepada Barisan Nasional.

Rafizi berkata, sentimen pengundi Melayu berpuas hati dengan keadaan ekonomi antara 40 hingga 45%, sejajar sokongan pengundi Melayu kepada Unmno dan peratusan pengundi yang masih mahu Najib kekal sebagai perdana menteri.

“Terdapat perbezaan besar antara kadar inflasi rasmi diumumkan kerajaan (2%-3%) dan kenaikan harga barang yang dirasai pengundi, di mana majoriti berpendapat kenaikan lebih 10%.

“Ini membuktikan jurang semakin besar antara apa yang benar dan tidak, dan ini mengakibatkan kemarahan dalam kalangan pengundi kerana mereka rasa diperdaya,” katanya.