
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Umno tidak melihat tindakan melontar kerusi ke arah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perkara serius.
“Ini jelas menunjukkan Umno menggalakkan gengsterisme, jika ada pihak yang tidak sehaluan dengan mereka. Ini tindakan dan kenyataan salah.
“Jika rakyat Malaysia, termasuk Dr Mahathir tidak menyokong Umno, keganasan yang ditujukan kepada bekas perdana menteri itu adalah halal,” katanya kepada FMT.
Semalam, perdana menteri menyindir Dr Mahathir dengan berkata, kekecohan yang berlaku dalam forum Nothing to Hide 2.0, Ahad lalu di mana kerusi, kasut dan suar yang dilontar ke arahnya, tidak akan berlaku jika beliau tidak membuat pusingan U.
“Buat pusingan U dulu lain, hari ini lain. Sebab banyak sangat buat pusingan U, kerusi pun melayang.
“Dalam politik, ayah saya pernah sebut, mesti ada keikhlasan kerana politik bukan hari ini cakap lain, esok pula cakap lain,” kata Najib di Permatang Pauh, Pulau Pinang semalam.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kenyataan Najib membuktikan Umno dan Barisan Nasional dalam keadaan terdesak sehingga sanggup menghalalkan gengsterisme demi menutup mulut pengkritik mereka.
“Umno atau sesiapapun yang menggunakan gengsterisme untuk mendiamkan pemimpin PPBM, cara ini tidak akan berjaya. Lagi mereka tentang atau tekan, lagi kuat kita akan lawan,” katanya.
Beliau turut menggesa Najib berhenti melabelkan Dr Mahathir sebagai diktator, Mahafiraun dan Mahazalim.
“Cukuplah guna skrip sama dan lama. Asyik melihat ke belakang. Dalam Umno memandang ke belakang, masa depan negara hancur tergadai,” katanya.
Petang Ahad lalu, forum Nothing to Hide 2.0 yang diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, bertukar kecoh dengan balingan suar, kerusi, kasut dan botol air oleh beberapa individu.
Ia berlaku ketika Dr Mahathi menjawab soalan mengenai hadirin mengenai kejadian Memali yang berlaku di Baling, Kedah pada 1985 semasa beliau memimpin negara.
Setakat ini, 13 lelaki ditahan bagi membantu siasatan kekecohan yang tercetus pada forum anjuran Pemuda PPBM itu.
Najib throws ‘flying chairs’ jibe at Mahathir in sit-down luncheon