Mufti zaman ini jangan hanya lulusan agama, kata akademik

Mufti zaman ini jangan hanya lulusan agama, kata akademik

Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI berkata, semakin ramai graduan dilahirkan sekarang dan jabatan agama tidak boleh membuat keputusan seperti 30 tahun lalu.

Tajuddin-Rasdi-mufti
BANGI: Seorang ahli akademik menyarankan Jabatan Agama Islam mengambil mufti berkelulusan ijazah atau sarjana dalam subjek berbeza selain Pengajian Islam supaya tidak ketinggalan zaman.

Prof Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI berkata, walaupun pihak berkuasa agama melakukan tugas dengan baik, tetapi mereka perlu mengikuti aliran semasa kerana sekarang lebih ramai orang berpendidikan berbanding 30 hingga 40 tahun lalu.

“Mereka perlu mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang dengan ijazah atau PhD dalam seni bina atau pengajian sosial.

“Pemimpin Islam perlu mampu melihat gambaran lebih besar dari segi alam sekitar, psikologi, seni bina dan lain-lain,” katanya dalam ceramah “Rethinking Islam Education at Universities within the Human Civilisation Construct”, semalam.

Mufti ialah penasihat agama Islam bagi sebuah negara atau negeri. Di Malaysia, mereka menganggotai Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang menimbang dan mengeluarkan fatwa mengenai perkara berkaitan agama Islam yang dirujuk oleh Majlis Raja-raja.

Pensyarah seni bina itu berkata, ajaran Nabi Muhammad diteruskan khalifah dengan pelbagai institusi pendidikan agama seperti sekolah Hanbali ditubuhkan.

Bagaimanapun, katanya, institusi itu mempunyai kelemahan kerana ia dikendalikan manusia.

“Tetapi, mereka yang memberi kata putus. Bagaimana kita boleh kata demikian sedangkan mereka jelas mempunyai kelemahan.”

Beliau berkata, institusi itu adalah sebahagian evolusi daripada Nabi kepada guru dan orang ramai berhak mempersoalkan kewujudan sekolah itu.

Beliau berkata, tiada jabatan agama yang mengawal rakyatnya di Amerika Syarikat.

“Rakyat AS mentadbir diri sendiri. Anda mempunyai kebebasan untuk mempercayai apa yang anda mahu.

“Di sini, jika jabatan agama mengeluarkan fatwa dan ia tidak dikuatkuasakan adalah okey, bagaimanapun sebaliknya berlaku dan mereka boleh menghukum anda, itu masalahnya.”

Beliau memberi contoh aktivis Dr Kassim Ahmad yang dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Syariah pada 7 Ogos lalu daripada dakwaan menghina Islam serta mengingkari pihak berkuasa agama Islam.

Tajuddin berkata, Kassim berhak menyuarakan pendapatnya, tetapi “di sini ia dianggap sesat”.

Katanya, tidak adil membuat keputusan sama seperti 30 hingga 40 tahun lalu, apabila semakin ramai graduan dilahirkan dan orang ramai mempersoalkan institusi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.