Ibrahim Ali: ‘Saya bangga akui saya Raja Rasis Malaysia’

Ibrahim Ali: ‘Saya bangga akui saya Raja Rasis Malaysia’

Ibrahim turut mempersoalkan adakah salah bagi Perkasa mempertahankan hak bangsa Melayu.

ibrahim-ali_perkasa_6001
KUALA LUMPUR:
Datuk Ibrahim Ali hari ini mengakui dirinya sebagai “Raja Rasis Malaysia” dan pada masa yang sama tidak mahu ambil peduli kecaman dilemparkan terhadap dirinya dan Perkasa yang beliau ketuai.

Presiden Perkasa berkata, semua kecaman dan cemuhan yang dihadapi menjadikan diri beliau dan pertubuhan itu semakin kuat.

“Rasis Perkasa berlandaskan Perlembagaan negara kerana ia termaktub dalam perlembagaan mengenai hak istimewa Melayu. Saya nak maklumkan kepada tuan, puan, saya sangat bangga dan nak mengaku saya Raja Rasis Malaysia, apa ada hal?

“Siapa yang kata kita rasis, siapa kata kita kecil, siapa yang menghina kita, persetankan mereka,” katanya semasa berucap merasmikan Kongres Melayu Wilayah Persekutuan anjuran Perkasa Wilayah Persekutuan di Kelab Sultan Sulaiman di sini.

Baru-baru ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa Perkasa dipenuhi rasis selepas gerakan hak Melayu itu membidas majlis pelancaran Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Dakwaan itu dibuat ekoran kenyataan Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali yang menyifatkan acara pelancaran itu sebagai “terlalu China”.

Perkasa mendakwa majlis yang dihadiri pegawai tinggi kerajaan China dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukti negara “dijajah” melalui ekonomi.

Mengulas lanjut, Ibrahim turut mempersoalkan adakah salah bagi pertubuhan itu bagi mempertahankan hak bangsa Melayu.

“Lepas menghina kita, siapa Perkasa, seolah-olah kita dinafikan kedudukan kita sebagai haram. Seolah-olah kita ini bukan rakyat Malaysia yang tiada hak bersuara.

“Salahkah kita bercakap soal hak bangsa kita? Salahkah kita pertahankan agama kita? Kalau ada golongan liberal yang mempersoalkan Islam itu sebab mereka tak faham Islam,” katanya.

Nazri gelar Perkasa kumpulan rasis

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.