Permintaan BNM tidak dedah dokumen rahsia ditolak RCI

Permintaan BNM tidak dedah dokumen rahsia ditolak RCI

Pengerusi panel RCI berkata siasatan itu mendapat persetujuan Agung dan pihaknya berkuasa melihat dokumen rahsia tersebut.

sidek-hassan-bnm-1
PUTRAJAYA: Permintaan Bank Negara Malaysia (BNM) supaya tidak mendedahkan dokumen rahsia ditolak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (Forex) bank pusat itu pada awal 1990-an.

Pengerusi panel RCI Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata permintaan BNM tidak berasas kerana panel mendapat persetujuan Yang Di Pertuan Agong (YDPA) untuk menjalankan siasatan dan berkuasa melihat dokumen rahsia.

“Ini adalah siasatan dan dalam perkara ini, tiada sesiapa dalam perbicaraan. Kami mempunyai masa yang terhad untuk lakukan siasatan.

“Kami panel dipersetujui YDPA dan untuk lakukan perkara ini, saya diberitahu, panel mempunyai kuasa. Saya tidak bagus dalam undang-undang, saya tidak pernah belajar undang-undang.

“Bermula hari ini, kami akan teruskannya tanpa sebarang penangguhan,” katanya dalam kamar mahkamah di Istana Kehakiman hari ini.

Sebelum itu, peguam BNM, Tan Hock Chuan meminta panel RCI tidak mendedahkan laporan audit dan laporan kerugian urus niaga Forex itu.

“Di bawah Seksyen 8, saya memahami ia melibatkan prosedur, boleh untuk terima bukti dan berhujah tanpa diambil tindakan undang-undang, tetapi bagaimana dengan saksi dari BNM.

“Mereka tidak dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi (OSA). Anda (semua panel siasatan) mempunyai imuniti. 2 saksi daripada BNM tidak kebal dari OSA,” katanya.

Sidek yang juga pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagaimanapun menolak hujah peguam BNM yang disifatkan tidak membantu siasatan jika ia terus menjadi dokumen rahsia.

“Jika semuanya OSA itu dan ini, jadi lebih baik tidak perlu adakan siasatan ini. Saya tidak mahu berdebat lagi dalam isu ini, sila teruskan (siasatan),” katanya.

Arahan dari Sidek menyebabkan BNM terpaksa menyerahkan dokumen kepada 6 panel RCI itu.

Antara individu yang menganggotai RCI ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon.

Turut terlibat ialah ahli Institut Akauntan Malaysia, K Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan itu.

Bagaimanapun, peguam Tun Dr Mahathir Mohamad, Mohd Haniff Khatri Abdulla bangkit mempersoalkan tindakan BNM yang tidak memberikan dokumen rahsia kepadanya.

Hanif menjelaskan, dokumen itu perlu kerana ia membantu pihaknya untuk menyelidik dan membantu siasatan dijalankan panel RCI.

Namun, Kamaludin mempersoalkan hasrat Haniff dan bertanya bagaimana dokumen rahsia ini jika diberikan akan membantu siasatan dijalankan panel pada hari ini.

Hujah Haniff bagaimanapun tidak menyakinkan semua 6 panel dan Kamaludin memintanya duduk dan menunggu kenyataan daripada saksi yang dibawa BNM.

Suruhanjaya berkenaan ditubuhkan pada 15 Julai 2017 lalu dan keanggotaannya mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Kes disiasat apabila bank pusat itu dilaporkan mengalami kerugian AS$10 bilion (RM44 bilion) dalam urus niaga perdagangan mata wang sekitar 1990-an.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.