
Sebuah akhbar Indonesia terkemuka hari ini berkata hakikat itu memainkan peranan dalam kesilapan bodoh berkenaan bendera Indonesia, apabila penganjur acara sukan dwitahunan terbesar rantau ini di Malaysia tersilap mencetak bendera republik itu terbalik, mencetuskan reaksi marah dari negara jiran.
“Kejadian itu mungkin petunjuk masalah yang lebih serius iaitu Indonesia masih asing dalam kalangan rakat Malaysia, walaupun asal-usul mereka sama – dan mungkin begitu juga sebaliknya,” kata Jakarta Post hari ini, dan menambah punca kesilapan itu bukan hanya kerana penyeliaan yang tidak teliti.
Kuala Lumpur terpaksa menarik balik puluhan ribu salinan buku cenderahati rasmi acara sukan itu, yang memaparkan jalur putih bendera Indonesia dicetak di atas jalur merah, dan bukan sebaliknya.
Jakarta perakui permohonan maaf dari Putrajaya, dan Presiden Joko Widodo menggesa isu itu tidak diperbesar-besarkan.
Polis Malaysia menyusuli permohonan maaf itu dengan siasatan untuk menentukan sama ada terdapat unsur sabotaj dalam percetakan buku cenderahati itu.
Namun permohonan maaf dan tindakan pembetulan yang diambil gagal menghalang tunjuk perasaan beberapa kumpulan yang pernah mengadakan himpunan anti-Malaysia sebelum ini.
Semalam, puluhan menunjuk perasaan di luar kedutaan Malaysia menuntut tindakan tegas diambil terhadap mereka yang “tidak menghormati” bendera Indonesia.
Jakarta Post berkata serangan seperti itu, yang diistilahkan sebagai “sindiran balas” terhadap “kesilapan tidak sengaja” harus dihentikan demi semangat Asean.
Sebaliknya, Indonesia diseru memberi tumpuan kepada prestasi kontinjennya, dan menambah “kegagalan untuk memaafkan hanya menjejaskan usaha menguasai semula Sukan SEA”.
“Pertama sekali kejadian bendera itu menunjukkan kita gagal menunjukkan kematangan kita,” kata akhbar itu.
“Barangkali semangat nasionalis kita mencetuskan permusuhan terhadap Malaysia, antara lain dicerminkan dalam tindakan seperti seruan mengundurkan diri daripada pertandingan itu atas nama maruah negara.”
Akhbar itu berkata hubungan tegang itu melangkaui kesukanan, termasuk tuntutan ke atas warisan kebudayaan dan tindakan keras pihak berkuasa Malaysia ke atas puluhan ribu pekerja haram Indonesia.
“Seperti yang dicadangkan dalam kejadian bendera itu, hubungan antara kedua negara yang berasal dari rumpun Melayu itu masih renggang. Oleh itu, usaha berterusan untuk membina persefahaman khususnya antara rakyat kedua negara sangat penting,” kata Jakarta Post.