Apa perlu kereta api laju angkut kargo, soal Jomo

Apa perlu kereta api laju angkut kargo, soal Jomo

Pakar ekonomi terkemuka itu mempersoalkan siapa yang akan menjadi pengguna harian kereta api dari Pantai Timur ke Kuala Lumpur.

Jomo-Kwame-ecrl
KUALA LUMPUR: Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibuat hanya semata-mata untuk membawa kargo dan penumpang, dan disifatkan tidak masuk akal oleh seorang pakar ekonomi terkemuka.

Prof Jomo Kwame Sundaram dari Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS) berkata ECRL hanya akan menambah hutang negara dengan cepat, sementara bebannya ditanggung oleh generasi akan datang.

“ECRL dijangka akan bawa kargo dalam tempoh 8 tahun. Adakah dapat diterima akal?

“Mengapa sistem rel semasa tidak boleh diguna?” soalnya.

Jomo berkata muatan kargo tidak perlu diangkut menggunakan kereta api kelajuan tinggi, sambil mempersoalkan sama ada ia dapat menarik penumpang setiap hari.

“Jadi ia untuk siapa? Adakah orang akan datang kerja dari Kuantan dan Kelantan ke Kuala Lumpur setiap hari? Tidak masuk akal,” katanya pada forum “Pelaburan negara China: Adakah ia keterlaluan” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan antara penyokong kuat projek sepanjang 690km itu yang merupakan salah satu daripada memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani Malaysia dengan China.

Ia diumumkan Najib pada Bajet 2017 yang dibentangkan tahun lalu, melibatkan syarikat gergasi China, China Communications Construction Co (CCCC) dengan pinjaman dibiayai Export-Import Bank of China (Exim).

Awal bulan ini, ketika merasmikan projek tersebut, Najib berkata ECRL akan menjadi “game changer” kepada Pahang, Terengganu dan Kelantan, dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi tambahan 1% hingga 1.5% setiap tahun.

Jomo mengakui sementara ada pelaburan asing yang membawa kepada keuntungan, ada juga yang akan menyebabkan kerajaan menanggung beban hutang yang banyak.

“Ini ditanggung generasi akan datang dan ini bahaya besar sebab akhirnya beban hutang itu akan ditanggung oleh kita,” katanya.

“Sikap yang ada sekarang membolehkan pelabur asing makin menguasai negara kita. Saham di Malaysia, Cina dan Melayu berlawan siapa yang lebih memiliki, tetapi sebenarnya saham pemilik asing yang mempunyai lebih.

“Jangan kita jadi boneka kuasa kuasa luar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.