
Menurut polis, kebanyakan pesakit kepada tertuduh, Niels Hogel, 40, didapati meninggal dunia selepas disuntik 5 jenis dadah boleh membawa maut.
Kesimpulan itu dibuat berdasarkan ujian toksikologi terhadap 134 mayat bekas pesakitnya yang digali semula untuk mengenal pasti punca kematian.
Pihak berkuasa sedang menunggu lebih banyak hasil laporan toksikologi dan dijangka jumlah kematian disebabkan perbuatan Hogel meningkat.
Sekiranya Hogel didapati bersalah, dia akan menjadi pembunuh bersiri paling dahsyat di Jerman, lapor agensi berita Jerman DPA.
Pada 2015, Hogel dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah di Oldenburg kerana didapati bersalah terhadap dua tuduhan cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan kepada pesakit.
Dalam perbicaraan berkenaan, Hogel mengaku menyuntik beberapa pesakit di 2 klinik di utara Jerman dengan ubat yang boleh menyebabkan kegagalan jantung atau masalah peredaran darah, dengan harapan menjadi hero jika kemudiannya dapat menyelamatkan pesakit itu.