
China Press memetik portal berita Xinhuanet sebagai melaporkan Li melepaskan jawatan ahli lembaga pengarah dan naib presiden eksekutif Dongfeng-Honda pada 21 Ogos lalu, sebelum menyertai Geely keesokannya.
Pegawai perhubungan awam Geely ketika dihubungi China Press bagaimanapun berkata, syarikat itu akan membuat pengumuman mengenai pelantikan CEO barunya pada masa sesuai.
Akhbar itu melaporkan Li mempunyai pengalaman luas dalam sektor automotif, tetapi bukannya dalam bidang pengurusan jenama asing, khasnya dari segi penerokaan pasaran luar negara.
Oleh itu, calon payung terjun yang berusia 53 tahun itu dikatakan bakal berdepan cabaran besar dalam menerajui pengeluar kereta nasional Malaysia.
Selain Li, portal berita China melaporkan seorang lagi pegawai kanan Dongfeng Automobile Co Ltd – Timbalan Pengurus Besar Jabatan Jenama Citroen, Che Yanhua menyertai Volvo bulan ini.
Khabar angin mengatakan Geely menawarkan gaji 2 hingga 3 kali ganda lebih tinggi untuk mengambil 2 bakat besar itu daripada Dongfeng.
Li mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam Dongfeng Automobile, susulan penyertaannya dalam syarikat automobil China itu pada 1987.
Beliau pernah dilantik sebagai timbalan pengurus besar Dongfeng Yueda Kia Motor Co Ltd, pengurus besar bahagian kereta penumpang Dongfeng, penyelia Dongfeng Group serta timbalan pengarah dalam lembaga pengarah Dongfeng Automobile Co Ltd.
Pada 23 Jun lalu, DRB-Hicom memeterai perjanjian menjual 49.9% sahamnya dalam Proton kepada Geely, yang juga pemilik Volvo Car Group dari Sweden.
DRB-Hicom turut menjual 51% pegangannya dalam Lotus Advance Technology Sdn Bhd kepada Geely dengan nilai RM277.85 juta (£51 juta), manakala baki 49% lagi kepada Etika Automotive Sdn Bhd.
Proton diasaskan pada 1983. Syarikat automobil pertama negara itu dibelenggu masalah kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun menerima bantuan kerajaan.
Pada 2001, ia menguasai 53% pasaran tempatan, sebelum merosot kepada 14% tahun lepas kerana lebih ramai pembeli memilih jenama lain.
Pada 8 Ogos lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, Proton masih berstatus syarikat Malaysia dan pengeluar kenderaan nasional, walaupun melantik pengerusi warga negara asing untuk menerajui transformasi syarikat itu.
Katanya, kerajaan tiada kuasa mencampur tangan soal pelantikan pengerusi Proton, sebaliknya ia terpulang kepada lembaga pengarah syarikat itu.