Kajian: Umat Islam UK dipinggir dalam pekerjaan kerana agama, cara pakaian

muslimPETALING JAYA: Satu kajian dijalankan Universiti Sheffield Hallam di United Kingdom (UK) mendapati umat Islam di negara itu dipinggirkan dalam pekerjaan, khususnya dalam bidang profesional akibat dikriminasi, rasisme dan Islamofobia meluas.

The Guardian memetik kajian pemerhati mobiliti sosial kerajaan itu mendapati umat Islam mempunyai etika kerja dan daya ketahanan tinggi, tetapi hanya 6% daripada mereka mendapat pekerjaan profesional berbanding 10% daripada keseluruhan populasi di England dan Wales.

Kajian itu turut mendapati 19.8% umat Islam berusia 16 hingga 74 tahun mempunyai kerja sepenuh masa berbanding 34.9% daripada keseluruhan populasi.

Malah, masyarakat menggalakkan wanita Islam memfokuskan perkahwinan dan keluarga, bukannya bekerja di luar.

Sebanyak 18% wanita Islam berusia 16 hingga 74 tahun “menjaga keluarga mereka” berbanding hanya 6% daripada keseluruhan populasi wanita di negara itu.

The Guardian memetik Prof Jacqueline Stevenson yang mengetuai kajian itu berkata, Umat Islam disisihkan dan didiskriminasi dalam semua peringkat, daripada pendidikan sehingga pekerjaan menyebabkan mereka gagal mendapat pekerjaan yang sepadan kemahiran dan kelayakan mereka.

Kajian bagi melengkapkan laporan Suruhanjaya Mobiliti Sosial sebelum ini mendapati kanak-kanak yang berasal dari Bangladesh dan Pakistan lebih berjaya berbanding etnik lain dalam pendidikan, tetapi kurang berpeluang dilantik ke peringkat pengurusan atau profesional.

Menurut kajian itu, antara halangan dihadapi umat Islam di UK ialah wanita bertudung berdepan diskriminasi diambil bekerja, anak muda Islam takut dibuli dan diganggu, selain perlu bekerja keras “10 kali ganda” berbanding rakan sekerja berkulit putih.

Nama seperti etnik minoriti turut mengurangkan peluang dipanggil menghadiri temuduga kerja dan pelajar Islam berdepan stereotaip serta kekurangan kakitangan Islam atau teladan dalam kelas.

Seorang responden di Liverpool berkata, bapanya menasihatkan beliau menukar nama supaya lebih mudah mendapat kerja.

Seorang lagi responden di High Wycombe berkata, ada yang akan bercakap “dia kelihatan sangat Islam” atau “dia bertudung”.
\
Penyelidik kajian itu yang berusia 25 tahun, Farhana Ghaffar yang terkejut dengan hasil kajian berkenaan kerana ada yang menganggap wanita Islam dipaksa bertudung, selain gurauan dan komen di tempat kerja mengenai umat Islam.

Malah, katanya, ada yang merasakan mereka perlu meminta maaf dan memberi penjelasan, setiap kali berlaku serangan keganasan.