Polis: IS cuba rekrut rakyat Malaysia berjihad di Rakhine

Polis: IS cuba rekrut rakyat Malaysia berjihad di Rakhine

Berdasarkan maklumat risikan, seorang penjual cendol dari Melaka ditahan kerana disyaki aktif mempromosikan perjuangan IS dengan mencetak dan mengedarkan bendera kumpulan itu, selain merancang menyertai IS di Filipina dan Rakhine.

ayob-khan_isis
MELAKA: Polis mengesahkan terdapat cubaan rakyat Malaysia “berjihad” di Rakhine, Myanmar susulan penindasan ke atas masyarakat minoriti Islam Rohingya yang dihebahkan kumpulan militan IS.

Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorisme Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, isu berkenaan dilihat menjadi senjata utama kumpulan berkenaan untuk mempengaruhi orang ramai dan seterusnya merekrut ahli baharu untuk kegiatan keganasan.

Beliau berkata, penularan atau perkongsian gambar rakyat Rohingya ditindas di wilayah berkenaan secara meluas di media sosial turut membantu kumpulan berkenaan menarik simpati dan penyertaan ahli baharu.

“Konflik di Rakhine masih baharu dan kita sedang mengumpul maklumat mengenainya. Bukan semuanya yang berlaku di sana kita tahu, tetapi mungkin dalam masa sebulan atau 2 bulan lagi ada usaha itu.

“Lagipun kita memang ada maklumat risikan berhubung kemungkinan rakyat Indonesia yang terlibat dalam aktiviti militan di negara mereka merancang untuk ke sana (Rakhine),” katanya selepas majlis perasmian Seminar Kesedaran Ancaman ISIS Terhadap Golongan Belia, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan turut dihadiri Timbalan Exco Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, kedudukan Myanmar yang berdekatan dengan Malaysia mendorong kumpulan militan IS untuk bertindak di Rakhine.

“Jika dilihat (dari segi kedudukan) Myanmar lebih dekat dengan Malaysia berbanding Syria dan selatan Filipina. Lagipun memandangkan di selatan Filipina konflik di sana tak pernah berakhir, maka pilihan lain untuk ‘berjihad’ ialah Rakhine,” katanya.

Beliau berkata, walaupun aktiviti merekrut pengganas ke Rakhine masih baharu, namun pihaknya sedang mengumpul maklumat tentang perkara tersebut, termasuk kaitannya dengan penahanan seorang lelaki berusia 38 tahun dari Melaka pada 10 September lepas.

Katanya, berdasarkan maklumat risikan, lelaki berkenaan, seorang penjual cendol, ditahan kerana disyaki aktif mempromosikan perjuangan kumpulan militan IS dengan mencetak dan mengedarkan bendera kumpulan berkenaan, selain merancang menyertai IS di Filipina dan Rakhine.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, aktiviti merekrut ahli baharu dalam kalangan rakyat negara ini masih diteruskan, walaupun ketua IS Asia Tenggara, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi yang berasal dari Melaka meninggal dunia dalam satu serangan dron di Raqaa, Syria pada hujung April lepas.

Beliau berkata, ada 4 lagi rakyat Malaysia masih berada di Syria yang dipercayai aktif merekrut rakyat Malaysia dan sentiasa mencari peluang dan ruang untuk melakukan serangan, sekiranya polis leka.

“Polis memang sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan terhadap sebarang aktiviti melibatkan IS dan boleh menggugat keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan pihak berkuasa tempatan di negeri ini digesa memantau perkembangan di kawasan mereka bagi mengekang penularan sebarang aktiviti berkaitan militan IS.

Beliau berkata, pihak berkenaan juga perlu melaporkan terus sebarang aktiviti atau kehadiran individu mencurigakan kepada polis sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menerima lebih 3 laporan berkaitan aktiviti melibatkan penceramah agama yang meragukan dan kes berkenaan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.