Penganggur pukul jiran dengan rotan kayu

law_cina_500

KLANG: Seorang penganggur dihadapkan Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas jirannya menggunakan sebatang kayu rotan 2 minggu lepas.

Tertuduh, Ching Chee Siong, 39, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman.

Ching didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Khor Meng Hiong, 52, di sebuah rumah di Jalan Jarak di sini, kira-kira pukul 3.30 petang pada 6 September lepas dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana 2 daripada hukuman itu.

Detik Khor dimaki dan dipukul seorang lelaki sambil disaksikan seorang kanak-kanak dan wanita yang menangis teresak-esak dirakam dan tular di media sosial.

Berdasarkan laporan media, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa didakwa memarahi seorang jiran lelaki berusia 60 tahun yang bertindak menegurnya ketika mangsa bertengkar dengan isteri.

Ching juga tidak mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan menceroboh masuk ke dalam rumah disewa oleh Khor tanpa kebenaran di masa, tempat dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 6 bulan atau dengan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Roslizi membenarkan Ching, yang diwakili peguam Ian Mark Simpson, dibebaskan dengan jaminan RM5,500 serta seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret berasingan, rakan Ching, See Kean Soon mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan merakam perbuatan rakannya itu (Ching) menggunakan telefon bimbit, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum mengikut Seksyen 342 Kanun sama.

See, 38, juga mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan menceroboh masuk ke dalam rumah disewa oleh Khor.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membenarkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dibebaskan dengan jaminan RM6,000 serta seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan bagi kes di kedua-dua mahkamah itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amira Abdul Aziz dan Ruzanna Ahmad.