Pakar: Pemimpin rakus kuasa punca belia tolak politik

awang-azman-awang-pawi_malaysia_politics_600

PETALING JAYA: Sikap pemimpin yang rakus kuasa antara punca golongan belia menjarakkan diri daripada politik, kata penganalisis politik Prof Madya Awang Azman Awang Pawi

Katanya, sikap itu boleh dilihat pada rata-rata pemimpin yang dilihat enggan melepaskan jawatan walaupun sudah mencecah usia 60 tahun.

“Pemimpin politik yang ada di dalam negara masih ingin menongkat langit baik dari pembangkang mahupun kerajaan. Konsep demokrasi tidak dilaksanakan sepenuhnya pemimpin negara,” katanya kepada FMT.

Tambahnya lagi, pemimpin apabila berjawatan tinggi dilihat tidak berminat mendengar suara anak muda, bahkan menggunakan kuasa untuk mengugut atau mengambil tindakan terhadap anak muda yang dianggap menggugat kedudukannya.

“Kita tahu pemerintah dan pembangkang sendiri memang banyak berdakyah,” katanya. “Idea anak muda sekarang ini kurang didengari.”

Badan tinjauan Merdeka Centre dalam kajiannya mendapati 70% daripada 604 responden anak muda tidak meminati politik. Sehingga 66% responden berpendapat ahli politik tidak boleh dipercayai, 54% percaya ahli politik tidak peduli masalah rakyat dan 66% merasakan ahli politik punca banyak masalah.

Anak muda jemu

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker sendiri akui sikap pemimpin menjauhkan anak muda daripada politik.

Beliau khuatir jumlah pengundi muda yang akan keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-14 nanti akan berkurangan.

“Mereka tidak percaya kepada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Mereka jemu lihat situasi politik negara,” katanya.

Media melaporkan segmen pengundi muda pada pilihan raya umum ke-14 nanti diunjurkan antara 5 juta hingga 7 juta pemilih. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, terdapat 3.8 juta rakyat tidak mendaftar sebagai pengundi, di mana 2/3 daripada mereka berusia antara 21 dan 30 tahun.

Selain itu, budaya organisasi politik turut menyumbang kepada tanggapan negatif anak muda. Ti berkata, susah untuk anak muda diberi peluang untuk berada dalam kepimpinan tertinggi parti politik kerana sudah menjadi budaya untuk mendahulukan pemimpin lama.

“Bukan semua boleh diberikan peluang seperti Khairy Jamaluddin,” katanya, merujuk kepada ketua pemuda Umno dan menteri belia & sukan. “Kekosongan ini berlaku hanya kepada parti yang baru sahaja ditubuhkan. Disebabkan itu mereka beranggapan perjuangan ini sia-sia.”

Ti percaya tanggapan itu mungkin antara pendorong kepada anak muda hari ini untuk menceburi bidang perniagaan kerana disitulah mereka berpeluang untuk menaiki tangga organisasi.

“Masih jauh lagi untuk Malaysia ikuti negara-negara maju yang melantik pemimpin muda untuk ketuai negara seperti Kanada. Kita masih terjerat dengan budaya politik lama,” katanya.

Anak muda tidak faham

Lanjutan daripada itu, 71% responden dalam tinjauan Merdeka Centre merasakan tidak mempunyai pengaruh terhadap kerajaan dan 75% merasakan politik adalah rumit.

Pecahan responden menunjukkan 72% responden kaum India tidak meminati politik, diikuti Melayu (71%) dan Cina (62%).

Mengulas dapatan itu, Awang Azman berkata masih ramai anak muda nampaknya tidak memahami kuasa yang ada pada mereka.

“Mereka tidak faham konsep undi boleh mengubah demokrasi. Mereka tidak faham undi boleh mengubah kepimpinan parti dan negara,” katanya.

Awang Azman berpandangan kaum Cina nampaknya paling cepat menyedari betapa pentingnya undi mereka dalam mengubah masyarakat.

“Mereka melihat politik boleh mengubah lanskap. Ia juga menunjukkan mereka terbuka dengan konsep demokrasi berbanding India dan Melayu,” katanya.

Sementara itu, Exco Selangor V Ganabatirau percaya sejarah boleh menjelaskan mengapa belia India menjarakkan diri daripada politik.

Katanya, kesan dasar pecah dan perintah British ke atas masyarakat minoriti itu, dan seterusnya politik kaum dan diskriminasi yang wujud ketika ini menekan belia mereka.

“Diskriminasi kaum itu berlaku secara tidak sedar,” katanya.

“Sejak jajahan British lagi kita sudah terpisah mengikut kaum. Bahkan, apabila mencapai kemerdekaan, parti yang diwujudkan masih lagi berasaskan kaum. Setelah merdeka, segala rancangan dilakukan kerajaan juga berunsurkan kaum.”

Pecah kebuntuan

Beliau percaya pembentangan manifesto yang memecah kebuntuan politik perkauman akan dapat menarik minat anak muda kepada politik.

“Manifesto dalam pilihan raya akan datang bukan lagi ditujukan kepada satu bangsa sahaja, tetapi boleh dinikmati semua rakyat berbilang agama dan bangsa,” katanya.

Pandangan yang sama turut disuarakan Ti Lian Ker: “Ini peluang untuk parti-parti yang mempunyai prinsip kuat menonjol. Pada masa akan datang, politik berasaskan perkauman, agama bukan lagi pilihan, sebaliknya politik berasaskan kepada kenegaraan.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pemimpin hari ini harus mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menarik pembabitan anak muda dalam politik.

“Kita tidak boleh katakan apabila mereka tidak lagi percaya ahli politik maka kita tidur, sebaliknya kita harus memberi kesedaran kepada mereka untuk mendaftar dan mengundi,” katanya.