
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata model dana hasil sosial atau SOF (social outcome income) itu membolehkan organisasi sosial memperolehi dana untuk mencapai impak tinggi dalam menjalankan program intervensi membantu masyarakat yang memerlukan perhatian.
“Malaysia mendapat pujian dan dikagumi Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB (Escap) dan British Council kerana berani meneraju pendekatan baru yang belum pernah dicuba oleh mana-mana negara di rantau Asia Pasifik,” kata Nancy dalam kenyataan hari ini.
Nancy berkata demikian selepas menghadiri Dialog Dasar Perusahaan Sosial dan Pelaburan Impak Asia Pasifik bersempena Social Enterprise World Forum 2017 di Christchurch, New Zealand.
Beliau mengetuai delegasi negara dalam dialog anjuran Escap dan British Council, yang menjadi platform kepada menteri dan pegawai kerajaan dari seluruh Asia Pasifik membincangkan dasar dan strategi menyokong pembangunan keusahawanan sosial dan pelaburan impak.
Model SOF itu dibolehkan melalui kajian penilaian kemajuan sosial atau SPA, yang membantu memperkemaskan pembiayaan untuk sektor sosial dan mengukur kemajuan sosial di negara ini.
“Hanya Malaysia dan Scotland yang mempunyai kaedah mengukur hasil intervensi sosial dan keberkesanannya melalui hala tuju yang berstruktur menerusi SPA,” katanya, dan menambah usaha itu mendapat pengiktirafan British Council.
Menurut Nancy, Malaysia negara ke-9 terbaik di dunia untuk menjadi usahawan sosial berdasarkan kepada 6 kriteria iaitu sokongan daripada kerajaan, pemahaman awam, menarik kakitangan mahir, menyara hidup, memperoleh momentum dan akses kepada pelaburan.
Ini merupakan dapatan daripada tinjauan yang dijalankan Yayasan Thomson Reuters pada tahun 2016.