Kereta sapu Indonesia bebas ke Sarawak, sebulan raih RM10,000

Kereta sapu Indonesia bebas ke Sarawak, sebulan raih RM10,000

Sumber mendakwa sikap sambil lewa agensi berkaitan dalam penguatkuasaan menyebabkan kereta sapu Indonesia bebas bergerak sejauh 100km dari pintu sempadan sehingga ke Sibu, Bintulu dan Miri.

driver-sempadan
PETALING JAYA: Kereta sapu dari Kalimantan Barat, Indonesia didakwa bebas keluar masuk sempadan Tebedu-Entikong di Sarawak setiap hari, seolah-olah mereka memiliki “lesen besar”.

Berita Harian melaporkan kenderaan pelbagai guna (MPV) paling popular di Indonesia, Toyota Kijang melintasi sempadan Sarawak tanpa perlu menjalani pemeriksaan rapi.

“Mereka begitu berani melakukan kegiatan haram itu kerana sikap sambil lewa agensi berkaitan dalam penguatkuasaan.

“Mereka tiada masalah mengambil dan menurunkan penumpang kerana tahu tiada tindakan diambil. Ini juga jelas memperlihatkan kelonggaran cukup serius di pintu sempadan,” kata sumber.

Sumber berkata, setiap penumpang dikenakan bayaran RM6 hingga RM30 bergantung kepada destinasi tujuan, dengan ada yang bergerak sejauh 100km dari pintu sempadan sehingga ke Sibu, Bintulu dan Miri yang mempunyai ramai pekerja Indonesia.

Pemandu kereta sapu itu didakwa memperoleh keuntungan RM7,000 hingga RM10,000 sebulan.

“Jumlah keuntungan teksi sapu berlipat ganda berbanding pengusaha kereta sewa berdaftar di negeri ini yang cuma memperoleh RM70 hingga RM75 sehari,” kata sumber.

Menurut laporan itu, sekurang-kurangnya 40 hingga 50 kereta sapu, selain kereta sedan bernombor pendaftaran Malaysia beroparasi secara haram di pintu sempadan dari 6 pagi hingga 6 petang.

Mereka turut mewujudkan transit haram berhampiran pintu sempadan untuk membawa warga Indonesia bekerja atau menjalani rawatan kesihatan di Sarawak.

Kegiatan itu dikatakan berleluasa sejak 5 tahun lalu dan menjejaskan lebih 70 pengusaha van dan kereta sewa berdaftar di Tebedu.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Kereta Sewa Daerah Serian, Jimmey Behon mendakwa “orang dalam” di agensi penguatkuasaan melindungi aktiviti kereta sapu itu kerana mereka tahu bila penguat kuasa akan menjalankan operasi.

“Kami juga mendapat maklumat ada penguat kuasa di sempadan mengambil ‘duit kopi’ daripada pemandu kereta sapu. Jika tidak, bagaimana pegawai atau anggota bertugas boleh melepaskan mereka sewenang-wenangnya,” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.