
Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari meminta mana-mana pihak agar tidak percaya dengan dakwaan Husam dan menyifatkan Adun Salor itu sebagai orang yang kecewa.
“Usahlah percaya lawak jenaka ini lagi. Sekali dia menipu, selamanya dia menipu.
“PAS banyak kerja lain yang perlu diberikan fokus daripada melayan dakwaan orang kecewa seperti ini,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Husam yang sebelum ini mendedahkan kelulusan kawasan balak seluas 5,500 ekar kepada 3 syarikat yang dimiliki orang yang sama didedahkan sebagai modus operandi untuk membiayai pembelian tapak Wisma Tok Guru.
Lapor portal Malaysia Dateline, Husam yang juga pengerusi Pakatan Harapan Kelantan berkata, beliau dimaklumkan secara jauh bahawa salah seorang Adun Kelantan telah mengutip sejumlah wang daripada pengarah syarikat yang terlibat.
Beliau mempersoalkan apakah asas 5,500 ekar hutan Kuala Pahi diluluskan kepada 3 syarikat yang dimiliki oleh orang yang sama.
“Isu yang saya akan bangkitkan kali ini ialah kelulusan hutan tanah kerajaan untuk perladangan sawit seluas 5,566 ekar di Mukim Kuala Pahi, Daerah Batu Mengkebang, Jajahan Kuala Krai kepada 3 syarikat yang dimiliki oleh orang yang sama.
“Ia diluluskan oleh kerajaan melalui Akademi Yakin yang belum diketahui terma-termanya.
“Akademi Yakin dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Haji Mohd Amar Abdullah,” kata Husam.
Husam juga mempersoalkan nilai hasil balak yang dilakukan di kawasan itu.
“Berapa nilai balak-balak yang ada di sini?
“Bolehkah Kerajaan PAS Kelantan berlaku telus?” katanya.
Wisma Tok Guru menempatkan pejabat Amanah Kelantan dan Adun Salor daripada parti serpihan PAS itu. Bangunan itu menjadi rebutan apabila Setiausaha Kerja PAS Kelantan, Mohamad Yasin Yusof dikatakan membeli tanah bangunan itu daripada waris pemiliknya, Datuk Rosli Ibrahim.
Bagaimanapun, Husam berkata, Rosli menerusi surat menyerahkan tapak bangunan itu untuk kegunaan beliau sampai bila-bila.
Sebelum ini, kekecohan tercetus apabila sekumpulan penyokong Pemuda PAS memasang bendera di bangunan itu, tetapi dihalang Pemuda Pakatan Harapan yang menyifatkannya “provokasi”.