
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata KISS memperuntukkan 2 kali ganda jumlah yang diberikan kepada setiap penerima BR1M, iaitu RM2,400 setahun berbanding RM1,200.
“Saya ingin tegaskan bahawa KISS jauh lebih baik daripada BR1M kerana para ibu dapat berbelanja purata RM200 setiap bulan.
“BR1M diterima oleh ketua keluarga atau para bapa dan bukannya golongan ibu. Jadi, sering kali kita dengar keluhan para ibu apabila perbelanjaan keluarga ini tidak dapat sepenuhnya kerana para bapa membelanjakannya terlebih dahulu,” kata Dr Daroyah yang juga Adun Sementa, menjawab persoalan dibangkitkan Datuk Rosni Sohar (BN-Hulu Bernam) di Dewan Undangan Negeri Selangor.
Dr Daroyah berkata KISS bukan sahaja membantu ibu, ia juga satu bentuk penghormatan kepada mereka.
“Dengan pengenalan KISS ini kerajaan negeri memberi pengiktirafan dan penghormatan golongan ibu untuk membuat keputusan dan mempunyai kuasa membeli dalam urusan keperluan keluarga dan anak-anak,” katanya.
KISS diperkenalkan melalui Belanjawan 2018 Selangor yang dibentangkan 3 November lalu, di mana Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia disasarkan kepada keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah.
Melalui KISS, setiap ibu yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM2,400 setahun, atau RM200 setiap bulan.
Program itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 golongan ibu, termasuk mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak di pasaraya serta kedai runcit yang akan dikenal pasti kemudian.
KISS dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri melibatkan kewangan sebanyak RM72 juta.