Zamihan masih aktif program Putrajaya pulihkan militan IS

Zamihan masih aktif program Putrajaya pulihkan militan IS

Pegawai Jakim yang disiasat menghasut itu ditugaskan KDN dalam program 'deradikalisasi'.

zamihan-2
PETALING JAYA: Kurang sebulan selepas disiasat di bawah Akta Hasutan dan dikecam “tin kosong” oleh Sultan Johor, Zamihan Mat Zin masih giat dalam program Putrajaya untuk memulihkan mereka yang dituduh terlibat menyokong militan IS.

Semalam, pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu yang kini ditugaskan dalam program pemulihan banduan, menjalankan sesi pemulihan dan “deradikalisasi” yang menyentuh hukum jihad, di samping peranan polis dan tentera.

“Sesi berjalan dgn ceria dan rancak tanpa henti selama 4 jam lebih sambil melayan semua soalan yang dibangkitkan. Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya kepada kita semua atas perkara yang disukai lagi diredhaiNya. Saksikanlah Ya Allah, daku telah membimbing mereka,” tulis Zamihan di Facebook, selepas sesi yang diadakan di Tapah, Perak.

Penjara Tapah kini menempatkan beberapa tahanan yang terlibat dalam kegiatan IS.

Pada September lalu, polis Bukit Aman mendedahkan kegiatan bekas banduan yang cuba merekrut tahanan di Penjara Tapah untuk menganggotai kumpulan pengganas dan mencetuskan konflik antara kaum dan agama, termasuk menyerang rumah ibadat.

Kontroversi melibatkan Zamihan menjadi hangat bulan lalu selepas ceramahnya di sebuah masjid di Shah Alam mempertikaikan pandangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, mengenai sebuah dobi di Muar yang enggan menerima pakaian bukan Islam.

Zamihan, yang juga mengetuai sebuah persatuan bernama Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), turut mempersoalkan tahap kebersihan orang bukan Islam, mengundang kemarahan ramai.

Pada 11 Oktober, beliau ditahan di bawah Akta Hasutan. Ia disusuli dengan kecaman Sultan Johor menyifatkan Zamihan “tin kosong yang tidak ada otak”, sambil mempersoalkan Jakim kerana melantiknya.

“Kalau betul dia penceramah Jakim, saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia,” kata Sultan Ibrahim.

Pada 16 Oktober, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik tauliah Zamihan untuk mengajar agama, sambil menyifatkan isi kandungan ceramahnya “rasis” dan “kurang beradab”.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan dilapor berkata akan mempertimbangkan status Zamihan, tetapi mengakui proses memberhentikan beliau “bukan senang” kerana perlu melalui banyak prosedur.

Zamihan dipinjamkan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk menjalankan program melibatkan banduan di Penjara Kajang.

Beliau yang sebelum ini bertugas di Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam di bawah KDN, dipindahkan serta merta ke Jakim pada Februari tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.