
Katanya, peguam lain turut menyifatkan tindakan polis itu tidak wajar.
Beliau mendakwa siasatan itu adalah usaha bersepadu pihak dikaitkan dengan plaintif untuk mengganggu dan menakut-nakutkannya disebabkan pembelaan difailkan defendan.
“Sukar untuk memahami bagaimana pembelaan yang menamakan saya, dan digunakan oleh seorang defendan daripada saman fitnah difailkan seorang ahli politik di sebuah mahkamah London, (dan oleh itu dilindungi keistimewaan mutlak), boleh menjadi satu kesalahan jenayah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis dilaporkan berkata, mereka akan menyiasat bekas pengerusi Bersih 2.0 itu di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 berdasarkan laporan Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar.
Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan ialah kesalahan membabitkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
Ambiga berkata, mahkamah memandang serius tindakan mengganggu dan menakut-nakutkan seorang saksi berpotensi yang mungkin disamakan dengan tindakan menghina mahkamah.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London, pada 21 April lalu, terhadap satu artikel Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa RM90 juta dimasukkan ke akaun pemimpin atasan PAS sebagai usaha Datuk Seri Najib Razak “menarik” kepimpinan parti Islam itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.
Pada 29 Oktober lalu, media melaporkan Clare Rewcastle-Brown dalam tuntutan balas terhadap saman fitnah difailkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa beliau dan Ambiga ada bercakap mengenai Datuk Seri Najib Razak, 1MDB dan PAS pada Julai 2016.
“Ambiga memberitahu defendan sumbernya yang dikatakan boleh dipercayai, menganggarkan jumlah yang dibayar itu sekitar RM90 juta,” kata Clare dalam afidavitnya bertarikh 11 Oktober lalu.
Clare dalam pembelaannya menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pemimpin PAS dari kumpulan ulama yang didakwa menerima wang daripada dana disyaki milik 1MDB.
Hari ini, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa dilaporkan berkata, beliau melihat sendiri bukti PAS menerima wang daripada Umno, dan jumlahnya melebihi RM90 juta, angka yang diberikan Sarawak Report.
“Saya tidak bermain dengan kata-kata. Saya bercakap selepas saya melihat sumber maklumat tersebut dan memastikan maklumat itu tepat dan benar,” kata bekas exco kanan Kelantan itu dalam sesi dialog Rabu lalu.
Clare dakwa Hadi, Najib pakat eksploitasi prosiding kes di London